Monday, 23 April 2012

Bengkel melukis secara percuma

BENGKEL melukis secara percuma diadakan pada setiap Sabtu dari jam 9 pagi - 12 tengahari di perkarangan Galeri Balai Seni Lukis Sabah, Muzium Sabah, Kota Kinabalu.

Bengkel itu terbuka kepada orang ramai yang berminat dalam seni visual.

Ia dikendalikan oleh Richard Lim, seorang pelukis tempatan yang mendapat pendidikan dari United Kingdom dan mempunyai pengalaman selama 20 tahun sebagai guru seni.

Richard akan membantu peserta dalam mempelajari cara melukis dalam pelbagai media termasuk pensil, warna air, akrilik dan pastel.

Peserta dikehendaki membawa bersama bahan-bahan melukis sendiri semada menghadiri bengkel itu.

Sumber: Lembaga Kebudayaan  Negeri Sabah





Wednesday, 18 April 2012

Ailon Mojilik kongsi kisah hidup dalam dokudrama

Ailon – Tiad Ku di Kosodop sasar temui peminat Julai ini


AILON (depan, kelapan dari kanan) dan P.Dik Ganai (duduk, kiri)
bersama pelakon-pelakon dokudrama itu.
Boyd PV
Harian Ekspres

LANGKAHNYA dalam bidang seni mungkin tidak semudah rakan-rakan artis lain yang seangkatan dengannya. Namun kejituan semangat lelaki lebih separuh abad ini untuk berjuang atas nama seni sukar untuk ditandingi oleh mana-mana artis.

Ailon Mojilik pernah mencipta fenomena dalam bidang seni suara tempatan sekitar pertengahan tahun 1960-an, seangkatan dengan penyanyi Justin Stimol, Minie Inus (mendiang) dan yang lain.

Lagu-lagunya, Tiad Ku Di Kosodop (Tangisan Semalam) dan Oluo Do Soovon (Perit Untuk Dikenang), antara lain, pernah menjadi siulan peminat ketika itu.

AILON (kanan) dan P. Dik
Bezanya dengan rakan-rakan artis lain, Ailon mencipta kemasyhuran dan kegemilangan dalam keadaan dunianya yang serba gelap – dia cacat penglihatan!

Namun, anak kelahiran Kg Nosoob Baru, Penampang ini tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk dia mengejar cita-citanya bergelar penyanyi dan pemuzik.

Mempunyai himpunan lebih 30 buah lagu di RTM Sabah dan memimpin sebuah kumpulan muzik dikenali sebagai The New Generation, Ailon menjelajah ke hampir setiap pelusuk negeri ini untuk menghiburkan peminatnya.

Ailon dan The New Generation merupakan antara kumpulan pemuzik yang paling laris ketika itu malah mereka pernah mengiringi persembahan penyanyi Raja Ema ketika penyanyi itu membuat persembahan di sekitar negeri ini satu ketika dahulu.

Malah sehingga ke hari ini, sesekali lagu-lagu malar segar dendangannya masih kedengaran dalam siaran di Sabah Vfm.

Kini berusia 66 tahun, meskipun tidak lagi aktif menyanyi, Ailon teringin untuk berkongsi dengan peminatnya dan merakam perjalanan suka duka kehidupan yang pernah dilaluinya dalam sebuah dokudrama biarpun Ailon menyedari dia tidak mungkin akan dapat menonton produk yang dihasilkannya dengan kos mencecah RM112,000 itu.

Merealisasikan impiannya yang tersimpan kemas sejak lebih lima tahun lalu, Ailon mendapatkan khidmat pengarah P.Dik Ganai dari syarikat produksi Bayo Pictures Sdn Bhd untuk mengarahkan dokudrama berjudul Ailon – Tiad Ku Di Kosodop.

“Saya harap projek ini apabila siap kelak akan mendapat sokongan daripada peminat-peminat yang pernah merasa terhibur mendengarkan lagu-lagu nyanyian saya.

“Perancangan untuk menerbitkan dokudrama ini sudah ada sejak lima tahun lepas. Tapi saya berdepan dengan banyak kekangan terutama sekali dari segi modal.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya projek ini dapat dimulakan dengan menggunakan wang simpanan saya serta sedikit bantuan daripada individu tertentu,” kata Ailon, penerbit eksekutif dokudrama itu.

Ailon ditemui ketika majlis kesyukuran sempena selesai penggambaran dokudrama tersebut di kediamannya di Kg Nosoob Baru, Penampang, baru-baru ini.

Ailon juga mengharapkan dokudrama itu, dan himpunan lagu-lagunya, akan menjadi legasi seninya apabila dia sudah tidak ada kelak.

Kini dalam proses penyuntingan, dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop menjalani penggambaran dari 2 – 14 April lalu di sekitar Kg Nosoob, Babagon dan Kibabaig di Penampang serta beberapa lokasi di Papar.

“Menerusi dokudrama ini, saya berkongsi dengan peminat kisah suka duka yang pernah saya harungi di gelanggang seni, pengalaman penyanyi buta seperti saya yang pernah disanjung oleh peminat tetapi tidak pernah, walau sekalipun, menatap wajah mereka,” katanya yang menghasilkan skrip dokudrama itu bersama P. Dik Ganai.

Clarice John Matha turut berlakon

Apa yang menarik mengenai telefilem berbahasa Melayu ini ialah semua pelakon yang menjayakan dokudrama itu mempunyai kaitan persaudaraan dengan Ailon sendiri.

Dan kecuali Clarice John Matha, kesemua pelakon lain, termasuk Ailon sendiri, tidak pernah ada pengalaman berlakon dan itu memberi cabaran kepada P.Dik Ganai.

Tetapi P.Dik tidak pernah melihat itu sebagai satu masalah yang besar.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk membawa masuk pelakon-pelakon baru, saya sedia maklum mengenai kekurangan dalam lakonan mereka. Saya sendiri kena belajar untuk banyak bersabar apabila bekerja dengan mereka kerana yakin dengan bimbingan yang betul, mereka boleh memberikan apa yang saya mahukan.

“Dan saya tidak silap percaturan kerana mereka semua mempunyai bakat lakonan semulajadi yang boleh digilap jika terus diberikan peluang,” katanya.

Untuk watak Ailon sahaja, P.Dik memerlukan empat pelakon untuk latar zaman berbeza iaitu ketika watak Ailon masih bayi, ketika kanak-kanak, pada di zaman kegemilangannya dan dirinya sekarang ini.

“Watak membabitkan kanak-kanak sedikit menyukarkan saya kerana mereka semuanya bersekolah sesi pagi jadi penggambaran hanya boleh dibuat selepas waktu sekolah,” kata P. Dik.

Mendapatkan lakonan terbaik daripada Ailon sendiri juga satu cabaran kerana penyanyi itu tidak boleh membaca skrip.

“Kerana itu saya beri kebebasan untuk dia mengeluarkan dialog yang bersesuaian,” jelas P.Dik yang menggunakan banyak teknik kamera untuk penggambaran kebanyakan babak disebabkan kekangan yang dihadapinya.

Pelakon lain yang menjayakan dokudrama ini ialah Sarah Augustin, Harry Ailon, Benedict Rayner, Mypat Joseph, Joseph P Lolong, Francis Mobijon, Norah Garang dan Francisca Maipok.

Sylvia Augistine, Rosle Yunos, George Doivin, Stephanie Augustin, Aloysius Moinin, Remmy Chia, Richard Augustin, Hybrida May Roger dan Merrly Roger.

Mereka turut dibantu Simeon Rayner, Melvin Gabriel, Nickson Loison, Nicoleson Loison, Alexander Carl, Cornelia Cisca Bernard, Jordon Togium, Charles Liansong, Martin Pinding, Elvin Isos, George P Loling, Danny Vilus, Roni Maidin dan Felix George P Loling.

“Jika tiada aral melintang, dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop akan dilancarkan pada 28 Julai ini di Dewan KDCA, Penampang,” kata P Dik.

Selain telefilem itu, ada satu lagi impian Ailon yang disimpannya sejak sekian lama.

“Sementara saya masih bernafas, saya teringin sekali bertemu dengan kawan yang sudah lama saya tidak temui – Cladius Sundang Alex (kini Datuk).

“Saya mengenalinya sekitar pertengahan tahun 1960-an ketika dia masih lagi bertugas di RTM. Cladius banyak memberi peluang kepada saya untuk muncul dalam rancangan-rancangan hiburan di Radio Sabah ketika itu.

“Saya harap impian saya untuk bertemu dengannya akan tertunai dan berharap akan ada sesiapa yang akan menyampaikan pesan ini kepadanya,” kata Ailon.

Sinopsis dokudrama Ailon ~ Tiad Ku Di Kosodop

PENGGAMBARAN salah satu babak membabitkan
watak Ailon ketika masih kanak-kanak. Penggambaran ini
dilakukan di sebuah kampung di Papar.
Boyd PV
Harian Ekspres

DALAM sebuah keluarga yang sederhana, lahir seorang bayi lelaki diberi nama Ailon Mojilik.

Ailon dilahirkan sebagai kanak-kanak normal yang aktif dan ceria. Namun kehidupan Ailon berubah apabila dia menjangkau umur 8 tahun di mana dia menjadi buta akibat serangan demam panas yang berpanjangan.

Dengan keadaan yang mengubah kehidupannya itu, Ailon bertambah sedih apabila bapanya sendiri tidak dapat menerima nasib yang menimpa anaknya itu sehingga dia dibenci dan dilemparkan kata-kata kesat.

Menyedari kekurangan yang ada, Ailon menerima segala cacian yang dilontarkan kepadanya itu sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupannya seperti orang lain.

Ailon terpaksa akur dan menolak untuk menerima pendidikan di Sekolah Khas Pendidikan Orang Buta di Johor kerana enggan berpisah dengan ibunya.

Pada usia remaja, Ailon yang meminati alat muzik mendapat peluang bermain gitar sambil menyanyi dalam sebuah kumpulan kugiran di daerahnya.

Bermula dari situ, bakat Ailon mula menyerlah sebagai penyanyi dan kumpulannya mendapat tempat di hati peminat dan telah membuat mereka sering diundang ke majlis perkahwinan.

P. Dik (membelakang) mengarahkan penggambaran
membabitkan babak persembahan pentas.
Kumpulan kugiran yang pimpin oleh Ailon sering dijemput untuk mengadakan persembahan di funfair dan persembahan pentas anjuran RTM.

Ailon semakin dikenali dan mencetuskan satu fenomena apabila dia berpeluang merakam lagu di Radio Sabah.

Kenangan terindah Ailon ialah apabila kugirannya diberi kepercayaan untuk mengiringi persembahan artis terkenal tanah air yang mengadakan persembahan di Sabah.

Untuk mengikuti kesudahan kisah ini, nantikan kemunculannya di pasaran pada Julai nanti.

Clarice terharu ditawar bawa watak ibu Ailon

Clarice J Matha


Boyd PV
Harian Ekspres

WATAK Clarice John Matha dalam dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop tidak besar, tapi ia cukup untuk meninggalkan kesan dalam telemovie arahan P.Dik Ganai itu.

Clarice adalah satu-satunya pelakon berpengalaman dan dikenali dalam telemovie itu yang dijadual menemui peminat pada penghujung Julai nanti.

Memerlukan dia bermain emosi dalaman, watak ibu Ailon ketika kanak-kanak memberikan cabaran tersendiri kepada Clarice.

“Bukan tidak pernah melakonkan watak melankolik sebelum ini tapi watak Ugau dalam dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop memerlukan luahan emosi dan penghayatan yang berbeza. Telemovie ini bukan mengenai “saya” tapi ia mengenai “Ailon”. Dan harus wujud connection di antara kedua-dua watak itu.

“Itu juga salah satu sebab kenapa saya menerima tawaran untuk terbabit dalam projek ini kerana ia menawarkan satu kelainan daripada watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini,” kata Clarice yang tidak memerlukan masa yang panjang untuk menerima tawaran itu setelah membaca skripnya.

“Selepas memberikan persetujuan, saya meminta ruang untuk bersembang dengan Uncle Ailon untuk membolehkan saya menyelami masa ketika dia masih kanak-kanak dan mengharungi usia remaja.

“Itu dapat membantu saya memahami emosi watak Ailon ketika kanak-kanak,” katanya.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh pengarah untuk menjayakan watak ibu kepada Ailon. Sejujurnya, saya harus akui bahawa hati ini amat tersentuh ketika melakonkan watak itu… bagaimana harus seorang ibu itu menerima hakikat bahawa anak yang dilahirkannya dalam keadaan normal akhirnya menjadi buta akibat penyakit demam panas.

“Saya juga seorang ibu dan saya gunakan naluri keibuan itu untuk menghidupkan watak saya, untuk cuba menyelami dan menghayati karektor Ugau dan anaknya, Ailon,” kata Clarice yang sebelum ini pernah muncul dalam beberapa telemovie termasuk Huminodun dan Cinta PTI.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penerbit Uncle Ailon dan keluarganya, rakan-rakan pelakon yang sama-sama menjayakan telemovie itu serta pengarah, P.Dik Ganai kerana mempercayai bakat lakonan saya,” kata Clarice.

Sunday, 15 April 2012

CIMB Media Night 2012

Date: April 13, 2012 
Venue: Shangri-La Tanjung Aru Resort




































 
 



 



Add caption












Thursday, 12 April 2012

Somporing Philipus diiktiraf sebagai produk Malaysia

PHILIPUS (kedua dari kiri) bergambar kenangan bersama Muhyiddin (ketiga dari kiri)
dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,  Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (tengah)
serta penerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi yang lain
termasuk Wasinah (kiri) dan Hamid (ketiga dari kanan).  –  fotoBERNAMA 

Boyd PV
Harian Ekspres

TARIKH 9 April 2012 pasti akan menjadi tarikh keramat bagi anak kelahiran Tambunan, Philipus Jani, kerana pada tarikh itu, alat muzik somporing yang mula diciptanya hampir 19 tahun lalu akhirnya diiktiraf sebagai produk Malaysia dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

SOMPORING berbeza saiz yang dihasilkan Philipus.
Philipus, 43, adalah salah seorang daripada lapan penerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi sempena Majlis Perasmian Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012).

Anugerah itu yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkunjung ke pejabat percetakan Harian Ekspres di Tanjung Aru Rabu lepas, Philipus bersyukur kerana akhirnya somporing yang diciptanya itu mendapat pengiktirafan tertinggi.

“Sudah lama saya menantikan detik itu kerana saya percaya somporing yang saya cipta boleh pergi jauh jika saya mendapat bantuan, bimbingan dan sokongan sewajarnya daripada kerajaan.

“Saya bersyukur kerana akhirnya kerja keras saya sejak berbelas tahun lalu mendapat perhatian dan pengiktirafan,” katanya.

Somporing adalah sejenis alat muzik menyerupai saksofon dan dimainkan seperti saksofon. Bezanya, ia yang diperbuat sepenuhnya daripada bambu.

Dengan pengiktarafan itu, Philipus boleh menarik nafas lega kerana impiannya untuk membesarkan atau sekurang-kurangnya menaiktaraf bengkelnya yang ketika ini hanya berkeluasan 18 kaki x 12 kaki di Kampung Kepayan Lama, Tambunan akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Penerima anugerah ditawarkan geran untuk meningkatkan perusahaan termasuk menambahbaik premis serta pembelian peralatan yang lebih moden untuk menghasilkan produk.

“Selain dibimbing dari segi R&D, kami juga akan dibantu untuk memasarkan produk ke luar negara,” jelas Philipus mengenai ganjaran yang bakal diperolehinya susulan pengiktirafan somporing sebagai produk Malaysia. 

Philipus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kerana memperkenalkan program Jejak Inovasi yang akhirnya menemui somporing buatannya ketika program itu mengadakan jelajah mereka di Sabah 17 hingga 19 Julai menerusi Siri II, tahun lalu.

Memulakan usahanya pada tahun 1993, Philipus akhirnya berjaya menghasilkan somporing pertamanya 12 tahun kemudian, iaitu pada 2005, setelah berdepan kegagalan demi kegagalan.

Penglibatan Philipus sebagai pembuat somporing bermula secara kebetulan apabila dia berpeluang meminjam sebuah saksofon loyang daripada rakannya. Kisah itu sudah 19 tahun berlalu.

“Selepas beberapa hari, saya perlu memulangkan saksofon itu tapi pada masa sama saya sudah jatuh cinta dengan alat muzik tersebut.

“Kerana tidak mampu membelinya memandangkan harganya yang sangat mahal, saya mula mencari jalan untuk menghasilkan saksofon saya sendiri.

“Selepas 12 tahun melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan inovasi, saya akhirnya berjaya menghasilkan saksofon buluh yang saya panggil “somporing”. Ia boleh mengeluarkan bunyi hampir serupa dengan saksofon dari nada A hingga G major,” katanya.

PHILIPUS (kanan) ketika membuat persembahan di Jepun.
Produk ciptaannya itu bukan sahaja berjaya menarik pengkaji muzik, profesor universiti dan peminat muzik seluruh negara tetapi juga telah membawa Philipus ke Kagoshima, Jepun sempena Festival Asean membabitkan 11 buah negara pada September 2010.

Ilhamnya itu juga telah membawa rezeki sampingan melalui kontrak persembahan kumpulan muzik buluh yang dibentuknya, Bambooza Exotica, di beberapa tempat di sekitar ibu negeri.

Tapi lebih menyuntik semangat Philipus, somporing yang dihasilkannya menerima banyak tempahan khususnya daripada sekolah-sekolah di Sabah dan orang perseorangan.
Selain somporing, bengkelnya turut menghasilkan seruling, dram dan gitar elektrik daripada buluh, antara lain.

“Saya menggunakan buluh Malui kerana ia lebih tahan dan boleh menghasilkan bunyi yang lebih baik. Buluh jenis lain seperti Rugading juga menghasilkan bunyi yang jelas. Masalahnya, ia cepat rosak,” jelasnya.

“Bercakap secara umum, apabila kita telah yakin dengan rekaan yang kita hasilkan, teruskan berusaha melakukan inovasi demi inovasi sehingga kita dapat menghasilkan satu produk yang berkualiti dan menonjolkan kelainan.

“Kita fikirkan satu produk yang boleh digunakan secara praktikal dalam kehidupan dan tidak sekadar mengisi ruang almari perhiasan.

“Apabila bercakap mengenai inovasi, kegagalan kerap mengiringi usaha awal kita. Itu perkara biasa. Tetapi jika kita terus cekal dan yakin dengan ciptaan yang kita hasilkan, percayalah, suatu hari nanti usaha kita pasti akan berjaya.

“Dalam apapun yang kita lakukan, kita perlu fokus dan komited,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis penyampaian itu, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata kerajaan menyediakan pelbagai pengiktirafan bertujuan memupuk minat anak muda dan warga Malaysia ke arah menyumbang idea-idea terbaik bagi menggalakkan inovasi.

Ini termasuk Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Inovasi Perdana Menteri, Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Saintis Muda Negara dan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA). 
 
“Penekanan kerajaan terhadap inovasi telah menghasilkan 310 produk daripada 1,862 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara.

“Bagi tempoh 2008 hingga 2011, 13,213 permohonan dana berjumlah RM7.34 bilion telah diterima, dan sejumlah RM1.59 bilion telah diluluskan untuk membiayai 2,029 projek,” katanya.

Dana-dana R&D tersebut dibuka kepada syarikat industri kecil dan sederhana, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi meliputi sektor ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), bioteknologi, industri, teras sains dan teknologi dan ‘Sea to Space’.

Kerajaan melalui MOSTI memperuntukkan RM2.2 bilion untuk R&D di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

“Selain pemberian geran, kerajaan juga menyokong peningkatan keupayaan R&D negara melalui pembangunan modal insan dalam bidang penyelidikan. Ini dibuat melalui skim-skim biasiswa yang ditawarkan menerusi Program Pembangunan Modal Insan,” jelasnya. 

SGI2012 diwujudkan untuk menyemarakkan penyebaran budaya sains dan inovasi di negara ini.

Selain Philipus, dua lagi anak kelahiran Sabah yang turut menerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi pada majlis itu ialah Hamid Jasmin dari Tambunan yang menghasilkan projek hidro mini untuk menjana tenaga elektrik di sekitar kampungnya dan Wasinah Kuntagi, juga di Tambunan, yang menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan ‘Tuhau’.

PHILIPUS bersama ibunya, Salukim Gidong, ketika
berkunjung ke pejabat Harian Ekspres di Tanjung Aru.



Wednesday, 11 April 2012

Artis AK-PAAS sampaikan sumbangan amal

AHLI-AHLI AK-PAAS menyampaikan sumbangan pelbagai jenis barangan dapur kepada pasangan Korstin (depan, kanan) dan Enjulin (depan, kedua dari kanan) di Kg Kopimpinan, Tanaki di Papar. Turut kelihatan dalam gambar ialah Michael (duduk, kiri), Bernadus (duduk, kedua dari kiri) dan Sylvia (berbaju merah), yang merupakan anak kepada pasangan Korstin-Enjulin.


LAWATAN amal ke rumah Mary (duduk, kiri) dan bapanya (duduk, kanan) di Kg Tanaki, Kawang di Papar.

Boyd PV
Harian Ekspres

SEPERTI yang dirancang, orang kuat dan sebahagian artis yang terbabit dalam Album Kompilasi-Program Amal Artis Sabah (AK-PASS) berkunjung ke dua buah kampung di Papar untuk menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga di sana pada 7 April lalu.

Mereka yang terlibat dalam lawatan amal itu ialah penerbit album Nick Tudol serta penyanyi Rozza Rothman, Clarice John Matha, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh serta Clarice Sipanul dan wakil radio online SAPSAIFM, Ateh Wildan.

Artis lain dalam album itu tidak turut serta kerana terikat dengan komitmen lain.

Keluarga pertama yang mereka lawati ialah pasangan Korstin bin Tanggani dan Enjulin binti Gantawai di Kg Kopimpinan, Kawang, Papar.

Urusan mereka dipermudah dengan bantuan Micheal Mimis Jawani (wakil JKKK kampung itu), Bernadus Floditius serta James Tudol.

Mereka menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan dapur untuk keluarga itu.

Usai lawatan ke atas keluarga Korstin, mereka berkunjung pula ke Kampung Tanaki, juga di Kawang, Papar untuk menemui Mary @ Rose Nining, yang tinggal bersama bapanya.

Mereka turut menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada keluarga itu.

“Kami berbesar hati dan gembira kerana dapat menunaikan hasrat kami untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan menerusi hasil seni.

“Kami sedar, ia bukan satu jumlah sumbangan yang besar tapi sekurang-kurangnya ini adalah usaha ikhlas kami untuk membantu mengurangkan bebanan kedua-dua keluarga itu,” kata Nick.

Kesal JKKK persenda kunjungan amal

Bagaimanapun, menurut Nick, lawatan amal mereka ke rumah Mary sedikit mengecewakan kerana tidak mendapat kerjasama daripada JKKK mahupun Ketua Kampung berkenaan.

“Kami sedikit terkilan kerana tidak mendapat kerjasama daripada mereka walaupun apa yang kami lakukan itu menjurus ke arah kebaikan untuk membantu salah seorang penduduk di kampung mereka.

“Kami sudah maklumkan kepada mereka tiga minggu sebelum tarikh lawatan itu tapi kami masih tidak mendapat kerjasama yang diharapkan,” katanya.

Malah, menurut Nick, JKKK di kampung itu seperti mempersendakan kunjungan amal yang mereka lakukan.

“Kami tidak datang ke sana untuk menonjolkan diri sebagai artis tetapi sebagai insan yang prihatin kepada masyarakat yang perlu diberi bantuan mengikut kemampuan kami,” katanya.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya lawatan amal AK-PAAS ke Kg Kopimpinan dan Tanaki di Kawang, Papar berjalan dengan lancar.

“Kami terharu apabila menerima ucapan terima kasih daripada kedua-dua penerima sumbangan amal itu. Menurut mereka, mereka sebenarnya terkejut apabila diberitahu mengenai kunjungan itu yang tidak disangka itu.

”Malah mereka tidak pernah menyangka adanya program amal seperti ini oleh artis-artis tempatan.

“Terima kasih kepada mereka yang telah membantu mempermudah urusan kami dan terima kasih juga kepada keluarga Korstin dan Mary kerana sudi menerima kunjungan kami,” katanya.

Lawatan amal mereka seterusnya adalah pada 21 April ini di SPCAKK.

“Kami mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai atau mengenali keluarga yang wajar diberikan bantuan mengikut kemampuan kami agar menghubungi ahli-ahli AK-PAAS supaya kami dapat mengatur jadual lawatan amal,” kata Nick sambil menambah, mereka tidak memilih bangsa dan agama penerima sumbangan itu.

“Asalkan orang tulen Sabah,” katanya.

Wang untuk sumbangan itu diperolehi daripada hasil jualan Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah yang diterbitkan oleh Magus8 Entertainment dengan tujuan khusus untuk menggumpul dana.

Artis-artis tempatan yang menjayakan projek amal itu ialah Ebi Kornelis, Lydia Kalidin, Rozza Rothman, Clarice Sipanul, Syra Gom, Marcel Gatisi, Clarice John Matha, Ryna Tongkooh dan Esther Clement Tubong.

”Kami berharap orang ramai akan terus menyokong album ini agar kami dapat membantu meringankan beban lebih ramai rakan-rakan kita yang memerlukan.

“Bantulah kami untuk membantu mereka,” kata Nick.