Monday 20 February 2012

Peraduan Omekk dijalankan secara jujur: AMP

Credit: Ricardo Unto (Harian Ekspres)

Uno
KOTA KINABALU: Di sebalik kemeriahan sorakan meraikan kemenangan Foustine Ajik dalam ‘Mega Buru’ Orang Misteri Era KK (Omekk), di Warisan Square, di sini, Sabtu lalu, kedengaran suara-suara mereka yang tidak berpuas hati dengan Era fm.

Tidak setakat terhenti di Warisan Square, perasaan protes itu dilanjutkan ke laman Facebook Era fm Kota Kinabalu.

Tidak adil, ‘kapsit’, penipuan – hujanan dakwaan dilontarkan ke arah Era fm berhubung pencarian Omekk yang berakhir Sabtu lalu.

Sambil menyangkal wujud penipuan di dalam peraduan tersebut, Pengurus Operasi Airtime Management & Programming (AMP) Kota Kinabalu, Syazleey Zalsham atau Uno, berkata pihaknya sudah menjangka perkara sedemikian akan timbul.

“Dalam mana-mana peraduan yang diadakan, terutama yang berimpak besar seperti pencarian Omekk, pasti ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Kami (AMP) faham… umum mengetahui kita tidak boleh memuaskan hati semua orang,” kata Uno ketika dihubungi, Sabtu lalu.

Uno memberi jaminan bahawa peraduan itu dijalankan secara jujur.

“Peraduan besar seperti ini bukan sesuatu yang boleh diadakan sesuka hati, kami pastikan ia mematuhi segala syarat yang ditetapkan dan yang utama ia boleh diaudit”.

Segelintir pemburu atau ‘peminat’ Omekk, kata Uno, tidak menyedari bahawa penganjur memaparkan syarat dan terma peraduan di laman sesawang www.era.fm.
Syarat dan terma pertandingan secara jelas menyatakan bahawa pekerja dan ahli keluarga terdekat penganjur, Astro Malaysia Holdings, Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd dan anak-anak syarikat adalah tidak berkelayakan untuk menyertai dan/atau memenangi peraduan itu.

Identiti Omekk tidak boleh didedahkan

Menyentuh identiti Omekk yang sehingga kini masih dirahsiakan, Uno menjelaskan ia perlu dilakukan sedemikian untuk melindungi keselamatan Omekk.

“Identitinya tidak boleh didedahkan… dia (Omekk) sendiri bimbang akan keselamatan dirinya”.
Siapa Omekk? 


Uno juga mengakui tiada sesiapa pun di pejabat AMP, termasuk dirinya, yang tahu identiti sebenar Omekk.

“Yang mengenali Omekk adalah marsyal peraduan dan pemenang-pemenang. Tapi semua pemenang terikat dengan kontrak untuk tidak mendedahkan identiti Omekk,” jelasnya.

Kontrak tersebut ditandatangani oleh pemenang sebaik mereka berjaya menemui Omekk.

Kata Uno, walaupun timbul isu negatif dalam peraduan tersebut, penganjur tetap berasa gembira dengan implikasi positif daripada kempen itu.

“Ramai yang berkenalan dengan rakan baru, malah, saya tidak hairan jika ada yang terjumpa ‘cinta’ baru melalui pertandingan ini.

“Ia juga menjalin hubungan yang lebih erat di kalangan masyarakat, khususnya keluarga. Ini sebenarnya adalah fokus utama penganjur”.

Tambahan pula, Uno yakin, ketika ini sudah pasti pemburu-pemburu tegar Omekk mengetahui selok-belok jalan di sekitar Ibu Negeri.

“Pemburu juga dapat membina keyakinan diri dengan bertanya kepada orang yang tidak dikenali sepanjang peraduan berlangsung.

“Banyak nilai-nilai baik yang ingin penganjur pupuk dalam peraduan tersebut, misalnya, kami meminta pemburu agar mengajukan soalan dengan bersopan-santun,” kata Uno.

Sementara itu, gambar penyampai radio Era, Jeremy Valentine atau JJ, yang ‘dipadankan’ dengan Foustine turut dimuatnaik ke laman Facebook Era fm.

BERTUAH... Foustine menunjukkan
kertas yang mengesahkan kejayaannya
mengesan Omekk.
“Saya tidak faham bagaimana saya boleh disamakan dengan Foustine. Saya bersiaran ketika itu, dan dia (Foustine) pula berada di Warisan Square.

“Tidak mungkin saya boleh berada di dua tempat yang berlainan pada masa yang sama,” jelas JJ ringkas ketika dihubungi pada Ahad, sambil menafikan dia mempunyai sebarang kaitan dengan Foustine.

Sepanjang peraduan anjuran AMP dengan Harian Ekspres sebagai rakan media itu dijalankan dari 6 hingga 17 Februari, seramai 15 pemenang berjaya menjejaki Omekk dan memperoleh ganjaran antara RM800 dan RM5,678.

Atas permintaan ramai, peraduan itu dilanjutkan pada Sabtu lalu, dimana menyaksikan Foustine membawa pulang wang ganjaran tertinggi RM10,000.


No comments:

Post a Comment