Sunday 19 February 2012

Penipuan bayaran artis perlu dihentikan: Janry

JANRY: Penganjur sepatutnya berhubung
terus dengan artis
Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

SEJAK dari dulu, kita sudah banyak dikhabarkan mengenai kisah promoter atau penganjur yang didakwa menipu bayaran untuk artis Sabah.

Tapi jarang pula kita dengar ada artis Sabah yang bertindak drastik dengan membuat laporan polis terhadap promoter atau penganjur yang didakwa menipu artis.

Maka, apabila Janrywine J Lusin berkongsi dalam laman sosial Facebook mengenai laporan polis yang dibuatnya terhadap seorang promoter bebas, ia mengundang polemik berpanjangan.

Tindakan penyanyi Macam D KK itu mengejutkan ramai rakan artis dan peminat-peminatnya sekaligus membuka mata banyak pihak bahawa segelintir artis tempatan tidak lagi mudah diperkotak-katik kerana mereka semakin sedar akan hak mereka.

Hiburan Ekspres menemui Janry untuk mendapatkan cerita di sebalik laporan yang dibuatnya di Balai Polis Kinarut pada 2 Februari lalu.

“Saya bertindak begitu bukan untuk mengejar wang bayaran yang dijanjikan itu, tapi saya nekad melakukannya kerana penipuan terhadap artis-artis Sabah perlu dihentikan,” katanya.

Apa sebenarnya yang berlaku?

“Saya dihubungi oleh promoter ini untuk tawaran menyanyi di sebuah majlis Tahun Baru Cina di Pitas tidak lama dulu.

“Atas dasar saling percaya, saya terima jemputan itu selepas jumlah lagu dan bayaran dipersetujui.

“Mengikut perbincangan awal, saya diminta menyanyi tiga buah lagu tapi apabila sampai di sana, saya diminta menyanyikan tambahan satu lagu menjadikan empat kesemuanya. Demi peminat, saya bertolak ansur dengan permintaan mereka.

“Malangnya, sejak saya selesai menyanyi pada hari itu sehinggalah ke hari ini, saya tidak menerima bayaran yang dijanjikan oleh promoter itu.

“Malah, ketika saya berada di Pitas pun saya langsung tidak nampak promoter itu.

“Saya beri dia tempoh tiga hari, dia tidak hubungi saya. Saya tunggu seminggu, pun tidak ada juga.

“Merasakan hak saya telah dicabuli, saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dengan harapan perbuatan promoter bebas itu dapat dihentikan kerana saya mendapat tahu selepas itu, ramai artis lain pernah menjadi mangsa penipuan promoter yang sama,” kata Janry yang meminta agar nama individu terbabit tidak didedahkan buat masa ini.

“Perkara ini sudah sampai ke mahkamah. Saya sudah menerima surat panggilan untuk ke mahkamah minggu depan (minggu ini),” tambahnya.

Menurut Janry, ini adalah kali kedua dia berurusan dengan promoter yang sama.

“Tapi saya tidak berminat untuk bercerita mengenai apa yang berlaku di Sandakan. Cuma sekarang ini, saya tidak mahu lagi cakap banyak. Kita jumpa saja di mahkamah.”

Dimana silapnya sehingga perkara seperti ini boleh berlaku?

“Terlalu percaya. Saya akui itu kesilapan saya. Tapi pengalaman ini mengajar saya sesuatu. Jangan mudah percaya dengan janji mulut. Ini peringatan untuk diri saya dan rakan-rakan artis lain.

“Sebaik-baiknya apapun urusan membabitkan kerjaya nyanyian, dapatkan hitam putih. Kerjaya menyanyi perlu diurus secara profesional. Jika tidak, kita akan terus menjadi mangsa mereka yang suka mencari kesempatan,” katanya.

Janry sempat berpesan kepada mana-mana artis Sabah yang ditipu oleh promoter atau penganjur:

“Jangan bertindak melulu. Dapatkan pandangan rakan-rakan artis lain mengenai langkah terbaik yang perlu dilakukan. Jangan ada sikap sombong, artis di Sabah perlu bersatu hati jika kita ingin melihat arena hiburan di Sabah berkembang menjadi sebuah industri.”

Janry juga berpesan kepada penganjur acara agar berurusan terus dengan artis jika memerlukan khidmat mereka.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Janry kini sedang sibuk membuat persiapan untuk pelancaran album Macam D KK.

“Syukurlah, semuanya sudah selesai. Album Macam D KK sudah ada di tangan saya dan jika tiada halangan, majlis pelancaran album itu akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.



No comments:

Post a Comment