Friday 24 February 2012

Siapa juara CLAS V?

Boyd PV
Harian Ekspres


Lailah
MENELITI senarai finalis Anugerah Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) Musim ke-5 yang akan dipentaskan petang Sabtu ini (25 Februari, 2011) di 1Borneo Hypermall, anda pasti pantas menyedari hakikat bahawa pertandingan itu didominasi sepenuhnya oleh peserta lelaki. 

Menurut, penerbit CLAS, Lailah Elok, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana lagu-lagu yang layak ke final disenaraikan berdasarkan pencapaiannya dalam carta mingguan.

“Tambahan lagi, untuk tahun 2011, terutamanya selepas saya mengambil alih rancangan itu, lagu-lagu yang diterima dinyanyikan oleh penyanyi lelaki. 

“Hanya selepas pencalonan ditutup barulah saya menerima lagu-lagu yang dirakam oleh penyanyi wanita. Lagu-lagu itu akan dinilai untuk dimainkan di SabahFM seterusnya dicalonkan untuk CLAS musim seterusnya,” katanya.

Ketiadaan penyanyi wanita di final acara itu kelak, bagaimanapun, akan diimbangi oleh kemunculan dua penyanyi wanita yang sentiasa dinanti kemunculan mereka – Esther Applunius dan Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Mereka akan mengisi segmen persembahan dan akan turut berkongsi pentas dengan kumpulan yang dianggotai empat pemuzik berbakat besar, Momain Blues.

Menurut Lailah, pemilihan artis jemputan dibuat dengan cukup teliti menerusi perbincangan orang-orang kuat RTM Kota Kinabalu.

Esther, misalnya, adalah juara CLAS edisi lepas di mana dia mempertaruhkan lagu Selalu. Umum juga sudah maklum mengenai pencapaian terbaik Esther dalam program realiti One In A Million Musim Ke-3 pada tahun 2009 yang membantu melonjakkan popularitinya.

Jo-Anna pula adalah naib juara Pertandingan Bintang RTM tahun sama dan menjadi peserta paling menonjol dalam pertandingan itu disebabkan pakej lengkap yang dimilikinya. 

Momain Blues
Momain Blues adalah sebuah kumpulan muzik tempatan yang mempunyai ramai peminat. Ini dibuktikan tahun lepas apabila mereka menyapu dua kategori di final Anugerah CLAS Musim ke-4 iaitu Anugerah Penyanyi Paling Popular dan Lagu Paling Diminati, kedua-dua kategori yang penilaiannya dibuat berdasarkan sokongan peminat. 

Bermula jam 1.45 petang, lapan peserta akan berada di pentas Centre Atrium, 1Borneo Hypermall untuk memperdengarkan persembahan mereka bagi merebut empat anugerah yang dinilai oleh juri profesional iaitu Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik. 

Dua kategori lagi ialah Anugerah Lagu Paling Diminati yang dinilai berdasarkan prestasi lagu itu dalam carta mingguan serta Anugerah Penyanyi Paling Popular membabitkan undian SMS.

Empat peserta solo ialah Fanzi, Gi-Mie, S. Welly dan Malik Nasir sementara peserta berkumpulan ialah Fingers, Ariez, Makhluk dan Cahaya D’Folk.

Fanzi akan mempertaruhkan lagu berjudul Dua Cinta Menjadi Satu ciptaan sepenuhnya oleh Asmin Mudin.

Tanpa bermaksud menidakkan kemampuan lagu lain, berdasarkan pencapaian Asmin Mudin di peringkat Negeri dan nasional, Dua Cinta Menjadi Satu dilihat mempunyai kelebihan.

Bagaimanapun, lagu-lagu lain juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk bergelar juara termasuk lagu Surat Untuk Dewi dendangan Malik Nasir (ciptaan sepenuhnya Azahari Asli) yang pantas menguasai carta mingguan CLAS selepas hanya seminggu dicalonkan.

Lagu Kau Selalu Milik Ku ciptaan sepenuhnya Bernard Laimen Michael dan dinyanyikan oleh S Welly juga dilihat mampu memberikan saingan sengit. Pencapaian lagu ini dalam carta mingguan amat luar biasa.

Demikian juga Keliru (Lagu Jojo/Rodie Sofaz; Lirik Rodie Sofaz) yang meletakkan nama Gi-Mie sebaris dengan artis popular tempatan yang lain.

Tapi jika tahun ini juri ingin melihat satu kelainan, Kau Harus Tahu (Lagu Mazrun/Mazwan/Izhamudin; Lirik Mazwan/Izhamudin) wajar diberi perhatian kerana lagu nyanyian Cahaya D’Folk itu menghidangkan sesuatu yang segar berpaksikan kepada adunan muzik moden dan tradisional. 

Lagu lain yang dipertandingkan ialah Hidup Yang Baru (Lagu/Lirik Norhazlie Hazim) dendangan kumpulan Makhluk; Kalimah Cinta (Lagu/Lirik Ariez) dan dinyanyikan oleh kumpulan Ariez sendiri serta Impian (Lagu/Lirik/Penyanyi Fingers).

Kesemua lapan lagu yang dipertandingkan mempunyai kelebihan masing-masing. Namun lagu mana akan menjadi juara bergantung penuh kepada penilaian lima juri profesional dibarisi Mohamed Anuar Mohd Dahalan (RTM KL), komposer/penyanyi Eddie Hamid, Prof Madya Abdul Jamal Abdul Hamid (Pensyarah Muzik UMS), Zubaidi Abas (Pengarah DBP) dan penggiat seni Datuk Hajah Raya Erom. 

Perjalanan acara Anugerah CLAS V itu akan disiarkan secara langsung di SabahFM dan turut dirakam untuk siaran di Astro Saluran TVi 180.

Dalam pada itu, bagi kategori Penyanyi Paling Popular, undian SMS akan terus dibuka sehingga kesemua lapan peserta selesai membuat persembahan. 

Untuk mengundi, taipkan CLAS <jarak> KOD Artis dan hantar ke 32776.

Kod Artis ialah MALIK (untuk Malik Nasir), SWELLY (S. Welly), GIMIE (Gi-Mie), FANZI (Fanzi), FINGERS (Kumpulan Fingers), ARIEZ (Kumpulan Ariez), MHLUK (Kumpulan Makhluk) dan CDF (untuk Cahaya D’Folk).




Persembahan terakhir Esther?


Esther
DIHUBUNGI di Kuala Lumpur malam Khamis lepas, Esther Applunius berkata, persembahannya di Anugerah CLAS V adalah yang terakhir.

Terakhir? Adakah penyanyi lagu Selalu itu memberi pembayang bahawa dia akan meninggalkan bidang seni suara yang diceburinya sejak remaja?

“Tidak,” kata Esther sebelum ketawa. “Ia persembahan pentas saya yang terakhir di Sabah sebelum saya ke Surabaya, Indonesia awal Mac ini.” 

Menurut Esther, dia dan kumpulannya, Mixed Up Band (tujuh anggota kesemuanya) akan berlepas ke Surabaya, Indonesia awal bulan depan untuk kontrak menyanyi selama setahun dengan opsyen untuk melanjutkan tempoh kontrak.

“Tidak pasti bila saya akan kembali ke sini tapi untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun dari sekarang, ini adalah persembahan pentas terakhir saya untuk peminat di Sabah. 

“Jadi saya berharap penyokong-penyokong saya akan datang ke 1B Sabtu ini (petang ini) di mana saya akan buat persembahan all-out menerusi lagu Selalu dan Love On Top (Beyonce) sebagai menghargai sokongan mereka kepada saya selama ini. Saya mahu peminat mengingati persembahan itu untuk tempoh yang lama,” katanya.

“Sudah tentu saya akan merindui peminat di sini dan juga sambutan Pesta Kaamatan Mei nanti,” tambah Esther. 

Di Surabaya kelak, Esther berhasrat untuk meninjau peluang merakam single ketiganya serta mencari ruang untuk memasarkan bakatnya di sana.

Esther pernah menghasilkan dua single – Menggapai Mimpi (2009) dan Selalu (2010) dan sebuah album Kadazandusun menggunakan namanya sebagai tajuk yang dirakamnya pada tahun 2005. 




Jo-Anna janjikan yang terbaik untuk peminat


Jo-Anna
NAIB Juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas, berjanji untuk memberikan persembahan terbaik khusus untuk peminatnya menerusi dua lagu versi cover – Kisah Hati (Alyah) dan Bencinta.

Lagu Bencinta pasti akan menggamit memori peminatnya yang pernah mengikuti persembahan Jo-Anna di final Bintang RTM 2009 itu di mana dia memberikan persembahan yang sangat berkesan dengan suntikan tersendiri kepada lagu dendangan asal Faizal Tahir itu.

Ketika dihubungi malam Khamis lalu, Jo-Anna sedang gigih mengadakan latihan bersama Kombo RTM Sabah di bawah pimpinan Moses Vasanthan De Silva.

“Saya harap peminat akan datang menonton persembahan saya dan memberi sokongan kepada semua finalis CLAS musim ke-5.

“Kepada semua peserta pula, saya mengucapkan selamat bertanding dan semoga berjaya.”




No comments:

Post a Comment