Friday 24 June 2011

Nikki Palikat, Jed Madela temui peminat di tiga lokasi

NIKKI (tengah) dan Jed ramah melayani
 peminat cilik mereka Ainurliza Razak,12.
PENYANYI kelahiran Sabah yang mencipta nama di Ibu Negara, Nikki Palikat, berada di Kota Kinabalu untuk menghiburkan peminat-peminatnya dalam jelajah tiga hari ‘Jed Madela and Nikki Tour’ yang bermula di 1Borneo Hypermall, Jumaat.

Finalis Malaysian Idol musim pertama itu menjayakan jelajah tersebut bersama penyanyi terkenal Filipina, Jed Madela.

Lagu duet mereka Antara Kita akan dipromosikan dalam jelajah itu.

Nikki berkata Antara Kita dihasilkan berdasarkan lagu dendangan asal penyanyi Filipina Ogie Alcasid berjudul Kailangan Kita.

"Saya kemudian mendapat tahu bahawa Kailangan Kita adalah sebuah lagu yang sangat popular di Filipina," katanya pada sidang media yang diadakan di 1Borneo, pada Jumaat.

Anak saudara kepada penyanyi tempatan Jimmy Palikat itu memberitahu dia memilih lagu itu kerana ia mudah menyentuh sanubarinya meskipun tidak memahami senikata asalnya.

Jed menambah, walaupun dia sudah lama menyanyi, itu adalah kali pertama dia berduet dalam Bahasa Malaysia.

"Menyanyi bersama Nikki menjadikan ianya lebih mudah dan selesa," katanya yang menganggap pendekatan itu sangat indah kerana mereka menyanyi rangkap masing-masing dalam bahasa berbeza.

Selain Nikki dan Jed, sidang media pada Jumaat itu dihadiri Pengurus Pemasaran dan Pegangan Saham DiGi Cawangan Sabah, Glenn Chin.

Menurut Chin, masyarakat kita khususnya di Sabah mempunyai banyak suku kaum yang mendengar begitu banyak genre lagu.

"Dan memandangkan kedudukan Malaysia khususnya Sabah dan Filipina tidak jauh, kami mengambil keputusan untuk menggabungkan artis dari kedua-dua negara itu," katanya.

"Matlamat utama kami membawa ‘Jed Madela and Nikki Tour’ ke Sabah adalah sebagai menghargai sokongan yang DiGi terima daripada penduduk di negeri ini sejak 15 tahun kami berada di sini," katanya.

Jelajah itu bermula di 1Borneo Hypermall pada Jumaat sebelum diteruskan di Kompleks Karamunsing pada Sabtu (25 Jun/3.30 petang) dan di Eastern Plaza Tawau pada Ahad (26 Jun bermula jam 3 petang). Masuk adalah percuma.

Sepuluh pelanggan Digi yang bertuah akan berpeluang beramah mesra dengan kedua-dua artis berkenaan dalam sesi hi-tea. Pemenangnya akan dipilih daripada cabutan bertuah di setiap lokasi.

Jelajah itu dianjurkan oleh MUZIKON, sebuah label muzik baru berpangkalan di Malaysia, sementara persembahan mereka ditaja oleh DiGi Telecommunications Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment