Friday 7 December 2012

‘Konsert percuma membunuh industri hiburan’

Kredit:
Ricardo Unto
riqiriqi@facebook.com


BERBANDING senario hiburan terdahulu, generasi peminat muzik tempatan masa kini dilihat lebih mengingini sesuatu yang berkualiti dan tidak berat hati untuk berbelanja untuknya.
SILAS (dua kanan) bergambar bersama (dari kiri) Komunikator
Kreatif borneo TRUevents, Julian Keyworth, Pengarah
Ekselans Events, Joel Low dan Pengurus Besar
TRUevents, Lim.

“Beberapa tahun dahulu, memang diakui amat sukar untuk menganjurkan persembahan pentas berbayar. Walaupun konsert itu menampilkan figura terkemuka dalam industri hiburan, susah untuk menarik peminat mengeluarkan wang untuk menonton persembahan mereka.

“Kami, sebagai pengatur acara menanggung kerugian yang banyak ketika itu... kos untuk menganjurkan konsert adalah besar. Tapi selari dengan peredaran masa, keadaan juga berubah.
“Saya sedari golongan muda pada masa sekarang menikmati kehidupan yang lebih baik, seperti dari segi pekerjaan dan sebagainya. Mereka lebih demanding dan mahukan sesuatu yang bermutu dan sanggup berbelanja untuknya,” kata Pengarah Urusan Borneo TRUevents, Silas Michael Martin pada sidang media konsert Sungha Jung Live in Borneo, di Kota Kinabalu, Selasa lalu.

“Saya perlu katakan 'tidak' kepada konsert percuma kerana ia membunuh industri hiburan.”

Kata Silas lagi, ini adalah masanya untuk memperkenalkan semula konsert berbayar kepada umum.

“Tapi kami perlu yakinkan mereka untuk membayarnya. Tidak kira sama ada artis yang ditampilkan itu artis tempatan atau antarabangsa, yang utama adalah artis tersebut menepati citarasa peminat dan pemasaan konsert sesuai dengan mereka.”

Dalam hal ini, kata Silas, penganjur perlu bertanggungjawab untuk memberi apa yang diinginkan oleh peminat, dan “penganjur tidak boleh menipu peminat... kami mesti pastikan penonton menikmati pengalaman yang hebat”.

Namun, pada asasnya, langkah ini perlu diambil secara perlahan-lahan.

“Kita tidak boleh terlalu mengandaikan tahap penerimaan peminat muzik di Sabah dan Sarawak sama dengan penerimaan di Semenanjung. Kita bermula secara kecil-kecilan dahulu dan satu hari nanti, kita akan sampai ke tahap itu.

“Melihat kepada penjualan tiket konsert Sungha Jung Live in Borneo, tahap penerimaan di Sabah adalah agak tinggi,” ujar Silas yang turut menerajui kumpulan indie Evenstarr.

Setakat ini, hampir 30 peratus tiket konsert sudah dijual.

“Dalam bidang hiburan, kita perlu bermula dari bawah dan selalunya mengalami beberapa siri kegagalan sebelum mencapai kejayaan. Dalam dua tahun pertama, kami (Borneo TRUevents) mengalami keadaan yang amat sukar, tapi kini kami sudah masuk tahun kelapan dan kami lebih memahami kehendak peminat.

“Banyak R&D (penyelidikan dan pembangunan) dijalankan untuk perkara itu. Misalnya, kami menyedari bahawa, sama ada anda membawa seorang artis atau ramai artis terkemuka untuk satu-satu konsert, peminat di Borneo hanya sanggup membayar jumlah tertentu.

“Kita tidak boleh melampaui batas itu dan segala perancangan perlu dilakukan berdasarkan had tersebut. Jika kita ingin memperluas skop batasan itu, lakukan pada kadar yang kecil dan perlahan-lahan,” kata Silas.

Selain itu, kata Silas, antara peminat yang telah membeli tiket dan akan mengunjungi Ibu Negeri datang dari Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Mereka katakan Kota Kinabalu adalah bandaraya yang indah, dan mereka terbang ke sini pada hujung minggu untuk bercuti sambil menyaksikan konsert.

“Apa yang menarik di sini, kami yakin dengan membawa artis antarabangsa ke KK, industri pelancongan Negeri ini turut digalakkan. Dalam hal ini, sudah pasti peminat tegar Sungha Jung dari luar Sabah akan tertanya-tanya mengenai keistimewaan Negeri ini yang mampu menarik Sungha Jung untuk membuat persembahan di sini.

“Dan mereka akan mencari maklumat di Internet, dan kemudian pasti ada peminat yang akan menyimpan hasrat untuk mengunjungi Negeri ini pada masa akan datang untuk bercuti.

“Kami boleh mainkan peranan ini (menggalakkan promosi pelancongan) dengan mengadakan acara besar dan menarik lebih ramai pengunjung ke Sabah dan juga Sarawak,” jelasnya.


*************************************
Info
Bermula 1 Januari ini, Z-o-o-m! 
akan melalui satu transformasi.  
                                -- Z-o-o-m! Team
*************************************

Sungha Jung bakal mainkan lagu Anak Kampung

Sementara itu, kata Silas, semakin ramai orang beralih kepada ketersediaan kemudahan teknologi, seperti Internet bukan sahaja dari segi pemasaran, tetapi juga hiburan.

“YouTube adalah adalah sumber hiburan percuma terbesar dalam talian. Dalam hal ini, kami dapati pada usia semuda 16 tahun, Sungha Jung sudah mencatat lebih 500 juta tontonan dan lebih sejuta pengikut di YouTube.


“Atas dasar itu, kami melihat salah satu cara terbaik untuk bersaing dalam industri ini adalah dengan membawa artis YouTube. Artis kelahiran YouTube juga wajar menerima pengiktirafan,” tutur Silas.

Menerusi konsert Sungha Jung Live in Borneo, penganjur mahu menggalakkan penghargaan terhadap artis antarabangsa dengan membayar untuk menonton persembahan mereka dan juga teknologi.

“Segala urusan pembelian tiket konsert dijalankan secara dalam talian. Kami (penganjur) bukan sahaja sekadar mahu menawarkan hiburan tapi juga menggerakkan bidang hiburan ini ke hadapan dari sisi teknologi,” katanya.

Konsert Sungha Jung Live in Borneo di Kota Kinabalu dibawakan oleh Borneo TRUevents – berpangkalan di Kuching – dengan kerjasama rakan publisiti tempatan Ekselans Events.

Konsert itu akan dilangsungkan pada 15 Disember ini di Dewan Konvensyen, Pusat Persidangan dan Acara Star City, Asia City, bermula 7 malam hingga 10 malam.

Sesi bertemu peminat pula adalah pada 14 Disember di 1Borneo Hypermall dari 7 malam hingga 9 malam.

Pas konsert dibahagi kepada tiga kategori – Platinum, Gold dan Silver, serta maklumat lanjut boleh diperolehi di laman www.truevents.my atau www.facebook.com/SunghaJungLiveinBorneo.

Konsert itu juga akan menampilkan persembahan ilusi oleh Chris Cheong – ahli silap mata termuda di Malaysia.

Penganjur turut mendedahkan bahawa untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka, sejumlah RM15,000 akan disumbangkan kepada Bukit Harapan di Kota Kinabalu.

Sungha Jung adalah gitaris fingerstyle sensasi yang meraih populariti menerusi laman perkongsian video YouTube. Remaja itu mula bermain gitar pada awal 2006 dan sepanjang perjalanan seninya, dia pernah berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam dunia gitar.

Setakat ini, dia sudah melahirkan dua album dan bakal muncul dengan album ketiga.

Bakat yang dimiliki gitaris muda dari Korea Selatan ini telah membawanya menjelajah Jepun, Indonesia, Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah.

Difahamkan, pada konsertnya di Kota Kinabalu kelak, Sungha Jung akan membuat persembahan istimewa dengan memainkan lagu kegemaran ramai, Anak Kampung.

Peminat boleh mengikuti perkembangan terbarunya di laman www.sunghajung.com.








No comments:

Post a Comment