Thursday 6 December 2012

28 artis bersaing rebut 10 anugerah

21 lagi akan diberi pengiktarafan dalam Anugerah Artis Sabah 


Boyd PV

MAJLIS Anugerah Artis Sabah yang diadakan buat julung kalinya tahun ini menyaksikan 28 artis – penyanyi dan pelakon – bersaing untuk merebut 10 anugerah yang dipertandingkan.

Mereka ialah Jimmy Palikat, Den Bisa, S. Welly dan Felix Agus yang dicalonkan untuk Anugerah Penyanyi Lelaki Pilihan.

Anugerah Penyanyi Wanita Pilihan pula dibarisi Esther Applunius, Dayang Noraini, Clarice John Matha dan Nadia.

Calon-calon untuk Anugerah Pelakon TV Lelaki Pilihan ialah Ebi Kornelis, Farish Aziz dan Felix Agus sementara kategori wanita untuk anugerah yang sama dibarisi Marsha Milan Londoh, Noni dan Clarice John Matha.

Bagi Anugerah Penyanyi Lelaki Harapan, calon-calonnya ialah Janrywine J Lusin, E Elmar dan Kamis Sainali sementara Anugerah Penyanyi Wanita Harapan dibarisi Ivye Alexandra, Donna Masidah dan Dyana.

Anugerah TV Lelaki Harapan meletakkan Sabhi Saddi, Wilton Hamdih dan Marlin Malalin sebagai calon-calonnya sementara kategori wanita untuk anugerah itu ialah Lia Natalia, Wawa Zainal dan Ivye Alexandra.

Anugerah Pelakon TV Lelaki Veteran Pilihan membariskan Awang Karim Kadir, Norsahar Ahmad dan Mat Congo.

Calon-calon kategori wanita pula ialah Arbaya Suni, Hasnah Ibrahim dan Masti Enongan.

Majlis anugerah itu akan diadakan pada 22 Disember ini di Star City Grand Ballroom di Kota Kinabalu bermula jam 7 malam.

Majlis perasmiannya dijangka disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Persatuan Rumpun Artis Sabah (Paras) dengan kerjasama dan sokongan daripada FINAS dan RTM.

“Anugerah ini dianjurkan buat kali pertama bagi menghargai pencapaian dan sumbangan artis-artis Sabah sejak tahun 2002 hingga 2012,” kata Presiden Paras, Abu Bakar Ellah dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada Hiburan Ekspres baru-baru ini.

Abu Bakar
Menurut Abu Bakar, majlis anugerah itu juga dianjurkan untuk menguar-uarkan kepada penduduk Sabah bahawa industri kreatif negeri ini semakin berkembang.

“Pencapaian artis-artis Sabah juga sudah jauh ke hadapan. Ada dalam kalangan mereka yang bukan sekadar melakar pencapaian dalam negeri tetapi juga mencipta nama di peringkat kebangsaan.

“Dengan itu, Paras berpendapat pencapaian mereka ini harus diberi penghargaan sewajarnya melalui penganjuran majlis anugerah ini,” katanya.

Mengenai kenapa anugerah itu hanya mengambil kira pencapaian artis kita dari tahun 2002 – 2012 sahaja, Abu Bakar ada jawapannya:

“Kita akui industri kreatif di Sabah mula berkembang sejak tahun 60-an lagi dan telah melahirkan ramai bakat hebat. Bagaimanapun, tidak ada satu pun majlis anugerah yang diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai bakat-bakat tersebut.

“Maka Paras mengambil inisiatif untuk menganjurkan anugerah ini. Tetapi jika kita mengambil kira pencapaian sejak tahun 60-an, sudah tentu ia satu tugas yang rumit untuk dilakukan.

“Maka untuk kali pertama ini, PARAS menjadikan pencapaian 2002 hingga 2012 sebagai ukuran.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna pencapaian artis sejak tahun 60-an dulu dilupakan. Ada beberapa kategori anugerah yang dikhaskan untuk menghargai mereka,” tambah Abu Bakar.

Dalam kenyataan akhbar yang sama, Timbalan Presiden Paras, Ebi Kornelis, berkata majlis pada malam itu akan menyampaikan empat kategori anugerah iaitu Anugerah Pilihan, Anugerah Pencapaian, Anugerah Khas dan Anugerah Bintang Seniman Kinabalu.

Anugerah Pilihan menyenaraikan 10 sub-kategori yang akan memberi pengiktirafan kepada 10 artis, terdiri daripada penyanyi dan pelakon, yang sangat menonjol ketika ini.

“Anugerah Pencapaian juga ada sepuluh penerima. Mereka terdiri daripada artis-artis Sabah yang telah mencipta nama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Contohnya menjadi juara pertandingan rancangan realiti TV Malaysia dan seumpamanya,” kata Ebi.


*************************************
Info
Bermula 1 Januari ini, Z-o-o-m! 
akan melalui satu transformasi.  
                       -- Z-o-o-m! Team
*************************************


Anak seni yang akan menerima anugerah dalam kategori ini ialah Stacy, Pija, Fiq, Salma, Ayu, Rey, Kumpulan Jiaja, Kumpulan Kecik dan Razali Kulintangan.

Produk telemovie terbitan Skyline Sdn Bhd, Orang Kita, juga akan menerima pengiktirafan dalam kategori ini berdasarkan rekod jualannya yang melebihi 100,000 unit.

Ebi menambah, Anugerah Khas juga mempunyai 10 penerima.

“Mereka ini adalah kalangan anak seni Sabah yang mempunyai pencapaian tinggi dan bertaraf legenda,” jelasnya.

Nama-nama yang disebut akan menerima anugerah itu ialah Nur Jawaheer Ismail (Ikon Peragaan), Othoe (Ikon Penyampai Radio), Datuk Yaman Ahmad (Tokoh Lukisan), Yusof Mohd Ali (Tokoh Tarian), Ramlee Awang Murshid (Tokoh Sastera), Osman Nasro (Tokoh Teater), allahyarham Rashid Kamsiran dan Asmin Mudin (Tokoh Muzik), Deddy M. Borhan (Tokoh Filem) dan Huang Poh Lo (Tokoh Kaligrafi 1Malaysia).

Kategori terakhir ialah Anugerah Bintang Seniman Kinabalu yang akan diberikan kepada penerima.

“Penerima anugerah ini adalah seniman bertaraf legenda yang mempunyai bakat luar biasa yang banyak memberi sumbangan untuk memartabatkan seni dan juga sangat dikenali sebagai penghibur rakyat dalam kalangan masyarakat,” kata Ebi sebelum menambah, penerimanya akan diumumkan pada majlis itu nanti.

Memperincikan pemilihan calon untuk Anugerah Pilihan, Setiausaha Paras, Marlin Malalin, berkata calon-calon yang disenaraikan untuk sub-kategori Penyanyi Pilihan dan Penyanyi Harapan dinilai berdasarkan pemilikan album, populariti, kualiti dan pencapaian tertinggi.

“Bagi calon-calon Pelakon TV Pilihan dan Pelakon TV Harapan, mereka mestilah pernah berlakon dalam produk yang ditayangkan di mana-mana stesen TV dalam negara.

“Panel bebas telah dilantik untuk memilih calon-calon ini,” katanya.

Dalam pada itu, majlis anugerah itu nanti, kata Abu Bakar, akan dihadiri oleh calon-calon serta penerima anugerah termasuk artis dari Sabah yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Persembahan untuk acara malam itu akan diiringi oleh muzik orkestra dan untuk menjadikan majlis itu lebih meriah, artis-artis yang hadir serta calon penerima serta penerima anugerah akan dibawa ke lokasi acara dengan menaiki kereta mewah dan melalui karpet merah serta “wall of fame” sebelum masuk ke dewan acara,” jelas Abu Bakar sambil menambah penyampai-penyampai anugerah juga adalah dari kalangan artis Sabah yang pernah melakar pencapaian tersendiri.

Majlis itu nanti akan dikendalikan oleh gandingan pengacara Hafrina Hanif dan Ramli Carlo.

Sementara itu, Penaung Paras, Jamawi Jaafar, melahirkan keyakinan bahawa anugerah itu kelak akan memberi impak yang baik kepada perkembangan industri kreatif negeri Sabah.







No comments:

Post a Comment