Friday, 30 November 2012

Usah terpengaruh spekulasi kematian Norikoh: Polis

LAPORAN bedah siasat kematian remaja perempuan berumur 16 tahun di Kota Marudu dijangka selesai dalam sehari dua ini kerana ramai orang khasnya orang ramai tertunggu-tunggu maklumat terbaru.

Diharapkan sebaik keputusan bedah siasat dikeluarkan, spekulasi yang banyak menular di Internet yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Kota Marudu akan dapati dihentikan.


*************************************
Info
Bermula 1 Januari ini, Z-o-o-m! 
akan melalui satu transformasi.  
                       -- Z-o-o-m! Team
*************************************


Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Hamza Taib pada Rabu menasihatkan orang ramai supaya tidak dipengaruhi oleh khabar angin yang disebarkan melalui Internet dan memberi amaran keras kepada penerbit media atas talian yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin.

Beliau berkata mereka masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Patologi dan menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi atas talian.

Dilaporkan pada Isnin lepas bahawa Norikoh Saliwa, 16, dari Kg Bombong 1, ditemui mati kira-kira 2 kilometer dari pekan Kota Marudu pada kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Susulan itu banyak spekulasi dibuat di satu laman sesawang sosial yang mendakwa kematian Norikoh disebabkan oleh kecederaan serius yang dialami selepas mangsa dirogol oleh lima warga asing.


Kredit: Sherell Ann Jeffrey

Sumber:
Harian Ekspres
30 November 2012

Thursday, 29 November 2012

Ni Kali Lah



SETELAH sekian lama menunggu, akhirnya Clarence Anthonius lega apabila album sulungnya Ni Kali Lah dilancarkan baru-baru ini.

Lebih manis lagi, pelancaran albumnya yang memuatkan lagu kontroversi Ni Kali Lah itu tidak dilakukan mana-mana orang kenamaan, sebaliknya ia disempurnakan sekumpulan peminat tegarnya.

Pada majlis itu yang berlangsung Sabtu lepas di Central Plaza Kepayan, dekat Kota Kinabalu, tetamu tidak kering gusi melihat keletah Alex Raja Lawak yang bertindak sebagai juruacara majlis selain dihiburkan oleh nyanyian Clarence dan dua artis jemputan naungan LRX Production, E Elmar dan Jimmy Santaim.

Dalam ucapan ringkasnya, Clarence sekali lagi mengulangi bahawa lagu hitsnya, Ni Kali Lah, tidak ada kaitan dengan politik.

Clarence juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang terus menyokong perjuangan seninya.

Kelihatan dalam gambar, sebahagian peminat dan penyanyi jemputan yang hadir mengabadikan kenangan bersama Clarence (barisan belakang, kelima dari kanan). – Boyd PV

Sumber:
Harian Ekspres
30 November 2012


Wednesday, 28 November 2012

Tiada tanda Norikoh dirogol: Ongkili

ANGGOTA Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili melawat dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga remaja perempuan yang mayatnya ditemui di tepi jalan di Kampung Ranau, Kota Marudu, Ahad lalu.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberi jaminan polis sedang menyiasat secara terperinci kes kematian pelajar Norikoh Saliwah, 16.


*****************************
                      Info
Bermula 1 Januari ini, Z-o-o-m! 
akan melalui satu transformasi.  
                       -- Z-o-o-m! Team
*****************************

Ongkili yang melawat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek, Anita Baranting, telah diberi taklimat oleh polis mengenai kes berkenaan.

“Bedah siasat mendapati tengkorak mangsa retak dan tiada tanda rogol. Polis tidak menolak kemungkinan dia mungkin dibunuh dan seorang suspek telah ditahan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetus emosi.


Sumber: Bernama

Tuesday, 27 November 2012

Lelaki Pakistan ditahan kes remaja mati di tepi jalan

Gadis ini dipercayai Norikoh Saliwa.
 SEORANG rakyat Pakistan ditangkap polis untuk memudahkan siasatan terhadap kematian seorang remaja perempuan rakyat tempatan berumur 16 tahun yang ditemui di tepi jalan di Kg Ranau di Kota Marudu, pada Ahad lepas.

Suspek, berumur 40an, ditangkap pada jam 10 pagi di Pekan Goshen di Kota Marudu pada Selasa oleh satu pasukan polis yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Pirikson Ubak dari balai polis Kota Marudu.

Suspek yang dipercayai seorang peniaga perabot dikatakan berkahwin dengan penduduk tempatan.

Dilaporkan pada Isnin lepas bahawa mayat Norikoh Saliwa, 16, dari Kg Bombong 1, ditemui kira-kira 2 kilometer dari pekan Kota Marudu pada kira-kira jam 12.40 tengah hari.


*************************************
Info
Bermula 1 Januari ini, Z-o-o-m! 
akan melalui satu transformasi.  
                       -- Z-o-o-m! Team
*************************************


Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah, ASP Kamarudin Sulaiman, remaja tersebut yang mengalami kecederaan kepala ditemui oleh orang awam yang menghubungi polis, menambah bahawa siasatan masih sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian.

Polis menyiasat di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah DSP Mohd Isa Yusof apabila dihubungi menggesa orang awam supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di Internet khasnya berhubung kes tersebut.

“Terdapat banyak spekulasi dan andaian dikemukakan di rangkaian sosial tetapi saya nasihatkan supaya jangan mempercayai khabar angin seperti itu kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.

Pada satu laman sesawang sosial terdapat spekulasi bahawa Norkiah dihumban keluar dari lori selepas dirogol oleh sekumpulan lima warga asing di Kota Marudu pada Ahad lepas.

Ia mendakwa mangsa mengalami kecederaan serius daripada serangan tersebut, yang menyebabkan kematiannya.

Terdapat beberapa kes kematian yang berlaku secara misteri membabitkan wanita-wanita muda dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya tiga tahun ini.

Salah seorang daripada mereka ditemui dibuang di sungai Moyog, tidak lama selepas seorang lagi ditemui mati dibunuh di sebuah apartmen, juga di Penampang.

Friday, 23 November 2012

Tangguh bulan madu

Boyd PV

USAI majlis resepsi perkahwinan mereka Ahad lepas, T.S. Jeffry dan Domithilla Servatius kembali sibuk dengan urusan kerja.

Hanya sempat bercuti beberapa hari, tumpuan mereka kini diarahkan semula kepada baki kerja dua buah projek drama untuk tayangan di televisyen sempena Tahun Baru Cina, tahun depan di mana T.S. Jeffry terlibat sebagai pengarah sementara isterinya beraksi di hadapan kamera.

Dengan kesibukan itu, nampak gayanya, pasangan pengantin baru ini terpaksa menangguhkan dahulu sebarang hasrat untuk berbulan madu.

Malah, kata T.S. Jeffry, dia belum membincangkan secara serius perancangan bulan madu dengan isterinya.

“Tunggu masa sesuai,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, T.S. Jeffry membayangkan Australia sebagai lokasi bulan madu mereka.

“Kalau tidak pun, tentu seronok kalau dapat berbulan madu di China.

“Atau kalau susah sangat mencari masa yang sesuai, saya fikir tempat yang dekat seperti Thailand adalah satu pilihan yang baik,” katanya.

Bercerita mengenai perkenalannya dengan Domithila, T.S. Jeffry berkata dia “menemui” isterinya itu di Bumi Kenyalang, bukan di Sabah.

“Itu yang saya rasa kelakar,” katanya.

Domithila berasal dari Kg Kolopis di Penampang sementara T.S. Jeffry adalah anak jati Pasir Mas, Kelantan.

“Saya berkenalan dengan isteri saya ketika saya sedang membuat penggambaran drama RTM bertajuk Waris Pawang Buaya di Sarawak.

“Domithila ketika itu sedang berada di tahun akhir pengajiannya di Kuching. Kebetulan pula, dia turut berlakon dalam produksi itu,” katanya.

Menurut T.S. Jeffry, dia tertarik dengan keperibadian Domithila yang menepati ciri-ciri gadis idamannya.

Merasakan jodohnya sudah sampai, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk melamar Domithila menjadi suri dalam hidupnya.

Dengan bantuan rakan-rakan di Sabah termasuk pengarah/pelakon P.Dik Ganai, T.S. Jeffrey mendekati Domithila dan keluarganya.

Mereka bertunang selama dua tahun dan dalam tempoh itu, mereka lebih mengenali satu sama lain.

“Walaupun masih muda, Domithila berfikiran matang.

“Saya juga suka sifatnya yang sangat memahami diri saya dan kesibukan saya sebagai pengarah dan pelakon,” kata T.S. Jeffry.

Lebih penting lagi, katanya, mereka ada keserasian.

“Saya selesa setiap kali bersamanya walaupun kami mempunyai latar budaya yang berbeza.

“Kami sebenarnya tidak nampak perbezaan itu. Kalau adapun, kami hanya fokus kepada persamaan, bukan perbezaan,” akui T.S. Jeffry, kini berumur 40-an.

Pilih lelaki matang

Domithila, yang setakat ini sudah membintangi beberapa drama TV termasuk Waris Pawang Buaya, berkata dia tidak kisah bersuamikan lelaki yang jauh lebih berusia berbanding dirinya.

“Umur sekadar nombor. Saya yakin dengan keputusan saya berkahwin awal dan dengan orang yang lebih matang.

“…dan saya harap rakan-rakan mendoakan rumahtangga yang kami bina akan berkekalan,” pintanya.

Menyenangi sikap T.S. Jeffry yang matang dan kelakar, Domithila mengakui bukan mudah untuk memahami situasi seorang pengarah dan pelakon yang banyak menghabiskan masa dengan kerja.

Tapi sedikit pengalaman berada di lokasi penggambaran dapat membantu Domithila memahami tuntutan kerjaya suaminya.

Selain Waris Pawang Buaya, Domithila juga membintangi drama bersiri Demi Sugit, Inspektorku Sayang dan Gong Xi Fa Cai Jun Yee. Ketiga-tiga drama ini masih belum ditayangkan.

Pada masa sama, Domithila juga sedang menimba pengalaman melakukan kerja-kerja di belakang tabir produksi.

T.S. Jeffry pula sudah lebih dua dekad mengabadikan diri dengan bidang seni.

Bermula sebagai pelakon, dia kemudian melebarkan sayap ke bidang pengarahan dan menubuhkan syarikat produksi Pentas Wayang Production Sdn Bhd.

Membintangi lebih 80 buah drama TV dan tujuh filem cereka termasuk Maria Mariana dan Lurah Dendam, T.S. Jeffry juga duduk di kerusi pengarah untuk drama popular di Astro Prima yang mengundang kontroversi, Halimah Jongang.

Mahu enam anak

Bercerita soal anak, tanpa berselindung, Domithila berkata kalau ada rezeki dia ingin memiliki ramai anak.

“Kalau boleh saya mahu enam,” katanya sambil tergelak.

Bagaimanapun, katanya, semua itu terpulang kepada soal rezeki.

Berapa pun bilangannya, dia tetap akan terima dan akan membezarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Majlis resepsi kedua pasangan itu akan berlangsung pada 12 Disember ini di Kg Tendong, Pasir Mas, Kelantan.











Sumber:
Harian Ekspres
22 November 2012

Pertandingan memancing di Teluk Likas tawar RM3,000

Gambar hiasan.
SATU pertandingan memancing akan diadakan pada 8 Disember (Sabtu) di Tanjung Lipat, Likas Kota Kinabalu yang menawarkan hadiah RM1,500 untuk juara, RM1,000 untuk naib juara dan RM500 untuk tempat ketiga.

Pertandingan anjuran Kelab Rekreasi dan Sukan Bomba Sabah (Kerisma) itu turut menawarkan 7 hadiah saguhati berupa hamper dan 10 cabutan tiket bertuah (hadiah juga dalam bentuk hamper).

Setiap penyertaan akan menerima sehelai baju-T sukan dan tiket untuk cabutan bertuah yang diberikan ketika pertandingan berlangsung.

Yuran pertandingan ialah RM50 untuk sebatang joran dan RM10.00 untuk setiap tambahan joran.

Pertandingan akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari sementara pendaftaran ialah dari jam 7 pagi hingga 8 pagi.

Lokasi pertandingan ialah di Tanjung Lipat, berhampiran Pelabuhan Kota Kinabalu di Jalan Tun Fuad Stephen.

Borang-borang penyertaan boleh didapati di Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri di Jalan Lintas (088-422873); Balai Bomba dan Penyelamat di Kota Kinabalu (088-210214), Tuaran (088-793792) atau Penampang (088-715446).

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Samsoa Rashid di nombor 013-8937649), Ray Mansin (014-8397251), Henry Goliong (019-8111609), Hamiddy Suil (013-8722676) atau Amirnorzi Amiruddin (013-3094410).






Wednesday, 21 November 2012

Panel kaca ‘Bonda Maria’ dipindah ke Klang

PEKERJA sedang menanggalkan panel kaca di SDMC Subang Jaya.
PANEL kaca di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), yang mempunyai satu imej menyerupai Bonda Maria, telahpun dipindahkan ke sebuah gereja Katolik di Klang.

Dalam satu kenyataan, Sime Darby Bhd berkata dua panel dari Menara Utara kompleks hospital berkenaan telah diturunkan dalam satu operasi selama 95 minit yang bermula pada jam 10 pagi, Selasa lepas (20 Nov).

“Salah satu panel itu mempunyai tanda yang sesetengah orang dakwa menyerupai gambar artistik Bonda Maria, ibu Yesus,” kata syarikat itu.

Sesetengah saksi juga mendakwa mereka melihat satu lagi imej mula terbentuk di salah satu tingkap di sebelah bawah, yang didakwa menyerupai wajah Yesus.
Syarikat itu menegaskan bahawa kerja-kerja memindahkan panel kaca itu dilakukan oleh profesional dan dengan penuh berhati-hati.
DUA panel kaca itu disimpan di chapel
Gereja Our Lady of Lourdes di Klang 

“Pemimpin-pemimpin gereja dan orang awam di kariah Subang Jaya hadir menyaksikan kerja-kerja menurunkan panel tingkap itu,” menurut kenyataan itu.

Panel itu dialihkan ke Gereja Our Lady of Lourdes di Klang.

Ratusan orang menyaksikan proses menanggalkan panel kaca itu dan ramai yang menggunakan telefon bimbit untuk merekod kejadian itu.

Sementara itu di KLANG, penganut agama Katolik berpusu-pusu datang ke gereja itu sebaik tersebar berita mengenai panel kaca itu dibawa ke sana.

Kedua-dua panel itu disimpan di sebuah chapel, di belakang gereja berkenaan.

Paderi kariah, Rev Fr Michael Chua berkata panel-panel itu boleh dilihat orang awam dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Penganut Katolik dilihat memegang rosari dan berdoa secara senyap. Ramai juga dilihat mengambil gambar panel itu.

Pesara Michael Ghana berkata ini adalah kali kelima dia melihat imej berkenaan. Sebelum ini dia sudah empat kali melihatnya di SDMC.

“Hari ini, imej itu semakin terang berbanding biasa. Ia satu keajaiban,” katanya.

Patimary Anthony Raju, 58, berkata dia sangat gembira kerana panel itu dialihkan ke gereja kariahnya.

“Saya dapat rasakan kehadiran Bonda Maria apabila berdoa,” katanya.


Untuk teks dalam bahasa Inggeris, klik di sini.



Tuesday, 20 November 2012

Pekerja ladang mati ditikam rakan, tiga lagi cedera serius

SHAMSUDIN (kiri) dan pegawai penyiasat Insp Muthalib Harun
menunjukkan barangan yang dirampas.
SEORANG pekerja ladang berumur 37 tahun mati sementara lagi cedera serius selepas ditikam rakan sekerja mereka ketika sesi berjudi “domino” di hadapan rumah pekerja di Ladang Matamba, di Lahad Datu, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah, Supt Shamsudin Mat dalam satu sidang media berkata susulan insiden itu, polis menahan suspek pada hari kejadian.

Menurut Shamsudin, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Amirudin Raside, dari Indonesia, sementara suspek adalah rakan senegaranya, berumur 35 tahun.

“Siasatan awal mendapati bahawa sekitar jam 10 pagi Ahad lepas, keempat-empat mangsa pergi ke rumah suspek untuk berjudi. Ketika berjudi, keempat-empat mangsa menuduh suspek menipu dalam permainan itu dan tindakan itu mencetuskan pergaduhan.

“Bimbang dipukul oleh keempat-empat lelaki itu, suspek masuk ke bilik tidurnya dan mengambil pisau sebelum menikam keempat-empat mangsa.

“Amirudin rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara tiga lagi, yang turut ditikam oleh suspek, berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurut Shamsudin, selepas dimaklumkan mengenai insiden itu, satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek yang ketika itu bersembunyi di sebuah rumah, tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan itu turut merampas pisau Bugis sepanjang 20sm yang dipercayai digunakan dalam insiden itu dan ditemui di tangga rumah itu, di mana suspek turut menyembunyikan set permainan ‘domino’.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat, sementara tiga mangsa lain, yang masing-masing cedera di dada, perut dan rusuk kanan, kini di rawat di hospital sama dan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.


Sumber:
Harian Ekspres
20 November 2012

Penduduk Palestin di Gaza takut keluar rumah


SERANGAN bertalu-talu oleh tentera rejim Israel terhadap Semenanjung Gaza tanpa mengira siang atau malam menyebabkan penduduk Palestin kini tidak berani keluar rumah, kata seorang penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

“Penduduk awam hanya berada di rumah dengan pintu terkunci dan tidak berani untuk keluar ke mana-mana...hanya kelihatan para pejuang Palestin yang terus berada di luar rumah untuk menentang Israel.

“Banyak orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak. Letupan berlaku di mana-mana termasuk di belakang kediaman saya,” kata Wesam Ahmad.

Wesam berkata penduduk di Gaza ketika ini hanya mampu bertahan dengan bekalan makanan yang mereka ada memandangkan bekalan sukar diperoleh disebabkan suasana tegang.

“Begitu juga dengan bekalan perubatan dan pengangkutan, segalanya terhad dan penduduk di Gaza berharap agar pergolakan di sini dapat dihentikan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wesam yang kehilangan lima orang anggota keluarga akibat keganasan Israel, berkata rakyat Palestin berharap penduduk dunia terus berdoa agar kemelut di Gaza berakhir dengan baik tanpa meragut lebih banyak nyawa.

Serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak Rabu lepas telah mengorbankan lebih 80 penduduk Palestin manakala 700 yang lain cedera.

Sementara itu Islamic Relief Malaysia (IRM) meminta rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan keturunan supaya menghulur sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zairulshafuddin Zainal Abidin berkata apa yang berlaku di Semenanjung Gaza sekarang bukan lagi isu agama dan bangsa, tetapi telah menjadi isu kemanusiaan yang harus dipandang berat oleh semua penduduk dunia.

Untuk maklumat lanjut, lawati laman facebook ini: Islamic Relief Malaysia


Sunday, 18 November 2012

Seminar diabetes di Papar, 22 Nov

PAPAR: Orang ramai, khususnya pesakit diabetes, dipelawa menghadiri Seminar Diabetes yang akan diadakan di Hospital Daerah di sini Khamis ini, (22 November).

Seminar tersebut akan diadakan di Bilik Orkid, Hospital Daerah Papar dari jam 10 pagi hingga 1 petang di mana ceramah-ceramah mengenai penyakit diabetes akan disampaikan oleh pegawai perubatan, ahli farmasi dan pakar pemakanan dari hospital itu.

Sesi kaunseling juga diadakan dari jam 2 hingga 5 petang.

Seminar itu merupakan salah pengisian sempena Minggu Diabetes Hospital Papar anjuran Unit Promosi Kesihatan, hospital berkenaan yang akan diadakan bermula 19 November hingga 23 November.

Selain seminar tiga jam itu, pameran turut diadakan sepanjang program itu berlangsung.

Pada 20 November, senaman Zumba akan diadakan di ruang legar hospital berkenaan dari jam 4 – 5 petang. Penyertaan dalam senaman Zumba ini adalah percuma.



Saturday, 17 November 2012

Bayi maut disimbah cuka getah

Omar
SEORANG bayi berusia enam bulan maut selepas disimbah cuka getah oleh seorang lelaki ketika keluarganya tidur di ruang tamu, di Kampung Gaur, Kota Belud, pagi Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, bayi berkenaan, Johrsin Hortelano, meninggal dunia selepas enam jam dirawat di Hospital Daerah Kota Belud, akibat melecur teruk pada mukanya.

Insiden itu turut menyebabkan ibunya, virgnia Alegada, 39, berada dalam keadaan kritikal dan kini sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) manakala kakaknya, Jazel, 12, dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Kota Belud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek, yang juga jiran mangsa, ditahan sekitar jam 10 pagi, hari sama.

“Suspek berusia 20 tahun ditahan di rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek menyimbah asid dari bahagian luar rumah melalui tingkap,” katanya.

Beliau menambah, suspek juga memotong bekalan elektrik kerana terdapat kesan potongan pada wayar di rumah mangsa,” katanya.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 akta sama kerana menyebabkan kecederaan parah.



Friday, 16 November 2012

Mangsa culik dibawa ke perairan luar negara: Polis

Hamza
POLIS Sabah percaya dua mangsa yang diculik lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di pantai timur Sabah pada Rabu lepas kini berada di perairan luar negara.

Pseuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedudukan mereka juga sudah dikenal pasti.

“Kita boleh agak di mana mangsa berada,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Hamza berkata setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada keluarga mangsa termasuk mengenai tuntutan wang tebusan dan sebagainya daripada pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Dalam kejadian antara 3.30 dan 4.30 petang itu, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya diculik dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50 km dari pekan Lahad Datu.

Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes culik dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sumber:
Harian Ekspres
17 November 2012

Culik: Belum ada pihak minta wang tebusan, kata Polis

Hamza
POLIS masih menyiasat motif di sebalik penculikan dua lelaki di estet kelapa sawit mereka di Kampung Manakayang, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu, lewat Rabu lepas. 

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Hamza Taib memberitahu sidang media di pejabatnya di sini pada Khamis, mangsa dikenal pasti sebagai pengurus ladang berusia 33 tahun dan penolongnya, berusia 25 tahun, kedua-duanya adalah ahli keluarga Tong, yang berasal dari Semenanjung dan memiliki estet seluas 100 ekar.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku antara jam 3.30 – 4.30 petang semasa kedua-duanya bekerja dengan dua lagi pekerja di dalam rumah burung walit keluarga tersebut di ladang berkenaan.

Beliau berkata, sekumpulan lima lelaki, salah seorangnya difahamkan memakai topeng, bersenjatakan senapang meluru masuk ke rumah burung walit itu dan mengarahkan mereka berdua keluar.

Kemudian kumpulan itu membawa kedua-dua mangsa berjalan kaki ke sebuah bot kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian lalu menghilangkan diri, selepas menaiki bot itu, ke kawasan laut terbuka.

Kedua-dua pekerja itu, salah seorang daripadanya warga asing, ditinggalkan tanpa sebarang kecederaan.

Penculik juga melarikan beberapa barangan kemas bernilai RM24,000, jam tangan, telefon bimbit serta dua kunci kepada dua pacuan empat roda.

Hamza berkata usaha mencari digerakkan oleh polis pasukan keselamatan lain termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas keluarga mangsa membuat laporan polis di balai polis Cenderawasih, di daerah sama jam 6.45 petang.

Pasukan polis di negara juga turut dimaklumkan tentang kejadian itu, katanya.

Lahad Datu terletak amat dekat dengan pulau Bungao, Filipina.

“Setakat ini (sehingga waktu berita ini ditulis), masih belum ada tuntutan untuk wang tebusan atau panggilan dibuat oleh penculik dan keluarga mangsa. Kami menyiasat perkara ini dari semua sudut, serta pekerja-pekerja di estet tersebut,” katanya, yang percaya ia mungkin bukan kerja orang luar kerana “jika ia dilakukan oleh luar, tiada keperluan memakai topeng.”

Hamza berkata berdasarkan siasatan polis setakat ini kejadian itu hanyalah insiden penculikan dan tiada kaitan dengan politik atau ekstrimis, dan menambah, keadaan keselamatan di Negeri ini masih terkawal.

KM minta orang awam bertenang

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengarahkan polis berusaha sedaya upaya dalam menyelesaikan kes penculikan di Lahad Datu pada Rabu lepas.
Musa
“Pesuruhjaya Polis telah memberikan taklimat kepada saya tentang kes itu dan saya meminta semua pihak berkaitan untuk mengerahkan tenaga mereka dan mengesan di mana mangsa culik terbabit,” katanya selepas menghadiri majlis Maal Hijrah peringkat Negeri di Wisma Muis, pada Khamis.

Musa yang juga Pengerusi Keselamatan Negeri berkata fakta kes tersebut masih tidak jelas dan justeru itu masih terlalu awal untuk menyatakan apa sebenarnya terjadi.

“Sehingga siasatan menyeluruh dibuat, saya meminta orang awam terus tenang dan tidak membuat andaian mengenai kes ini.

“Pihak berkaitan sedang melakukan usaha terbaik mereka untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
16 November 2012

Tuesday, 13 November 2012

Siti Asiah juara Sabah Idol Labuan

SITI Asiah (tengah) diapit oleh (dari kiri) Hazmir, Mohd Daud, Salwani dan Intan.
SITI Asiah Supangat, 21, menarik perhatian juri dan semua yang hadir ketika menyanyikan lagu Listen dendangan asal Beyonce sekaligus meraih gelaran juara pada pemilihan Sabah Idol Labuan baru-baru ini. Mengiringi gelaran itu ialah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Tempat kedua dimenangi abangnya, Mohd Daud Supangat, 26, yang membawakan lagu cukup mencabar, Cuba, dendangan asal Faizal Tahir.

Mohd Daud pulang dengan hadiah wang tunai RM500, trofi dan juga sijil.

Tempat ketiga dimenangi, Salwani Sawi, yang menyanyikan lagu jazz popular Frank Sinatra, Fly Me To The Moon. Salwani memenangi RM300, trofi dan sijil.

Tempat keempat ialah Hazmir Bongsu, 20, sementara tempat kelima ialah Intan, 36.

Peserta-peserta diadili Juraidah Gaus, Rozza Rothman dan Arnez Hamidi.

Tiga pemenang teratas ini akan mewakili Labuan ke peringkat negeri pertandingan itu di Kota Kinabalu akhir tahun ini.

Siasatan tiga anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia hampir selesai

STATUS siasatan kes berhubung seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa diperkosa tiga anggota polis dalam sebuah balai di Perai, dekat sini Jumaat lepas 95 peratus selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sehingga kini polis telah merekodkan keterangan daripada 10 saksi dan kertas siasatan akan diserah kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Beliau memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat secara telus tanpa melindungi pihak-pihak tertentu dan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mempercepatkan siasatan.

“Kita gesa supaya masyarakat tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan antara kedua buah negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, seorang wanita warga Indonesia mendakwa terpaksa melayan nafsu tiga anggota polis yang menahannya di kawasan flat di Perai, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah balai polis berhampiran kira-kira 6.20 pagi, Jumaat lepas.

Abdul Rahim berkata mangsa Siti Maemanah Kasman, 25, kini ditempatkan di Kedutaan Indonesia Pulau Pinang buat sementara waktu.

Katanya tiga anggota berpangkat rendah berusia 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan reman sehingga 16 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata tiga suspek terbabit boleh dilucutkan keanggotaan serta-merta sekiranya terbukti bersalah.

Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Kedutaan Indonesia Sofiana Mufidah yang turut hadir pada sidang akhbar itu meminta rakyat Indonesia bertenang dan mengawal emosi berhubung kejadian itu serta berharap kes itu diselesaikan secara adil.

“Warga Indonesia ikut bersimpati terhadap mangsa, justeru kita harap ia tidak berulang lagi dan kita minta supaya semua bersabar menunggu sehingga siasatan selesai,” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
14 November 2012

Tiga remaja dirogol di Labuan

Adzhar
TIGA pelajar sekolah berumur antara 12 dan 14 tahun, menjadi mangsa seks bawah umur dalam tiga kejadian berasingan, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman, kes pertama dilaporkan pada 26 Oktober kepada polis oleh ibu kepada remaja berumur 12 tahun yang mengadakan hubungan seks dengan lima temannya di sebuah rumah di Kg Layang-Layangan antara jam 2 hingga 5 pagi pada 20 Oktober lalu.

“Apabila pulang pada hari sama pada kira-kira jam 2 petang, remaja tersebut dimarahi bapanya kerana tidak pulang sepanjang malam.

“Tingkah lakunya yang pelik membuatkan bapanya mengesyaki sesuatu. Selepas disoal siasat, remaja tersebut menceritakan apa yang berlaku kepadanya,” kata Adzhar ketika ditemui, pada Isnin.

Adzhar menambah remaja itu meninggalkan rumahnya pada jam 6 petang, sebelum insiden itu, mengikut teman lelakinya yang berumur 16 tahun.

“Mereka bersiar-siar sebelum pergi ke rumah teman lelakinya. Empat kawan kepada teman lelakinya kemudian menyertai mereka,” jelas Adzhar.

Selepas ditanya, remaja tersebut mengaku kepada ibu bapanya bahawa dia diberi minuman yang membuatnya berkeadaan bingung semasa kejadian itu, kata Adzhar.

Kejadian kedua, katanya, melibatkan mangsa berumur 13 tahun, berlaku di sebuah kedai di pasar, membabitkan teman lelakinya berumur 19 tahun, seorang warga tempatan.

Dalam kejadian ketiga pula, seorang remaja berumur 14 tahun ditangkap basah di atas sebuah lori bersama seorang pemegang IMM13 berumur 23 tahun.

Ketiga-tiga kes itu kini sedang disiasat.

Sehubungan itu, Adzhar menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak serta di mana mereka berada untuk mencegah berlakunya kejadian tidak diingini.


Sumber:
Harian Ekspres
13 November 2012

Monday, 12 November 2012

Mayat bayi dibuang di belakang kedai di Sandakan

PLASTIK yang digunakan untuk membungkus mayat bayi itu .
MAYAT seorang bayi perempuan ditemui di belakang kedai di Jalan 2, Bandar Sandakan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata mayat bayi berkenaan ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8.10 pagi tadi.

“Mayat yang cukup sifat itu ditemui di dalam sebuah plastik yang diletakkan di atas lantai di kawasan belakang kedai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mayat bayi itu supaya tampil membantu siasatan.


Sumber:
Harian Ekspres
13 November 2012



Friday, 9 November 2012

Tiada antibiotik dalam produk Ayamas: Liow

Liow
KEPUTUSAN ujian makmal terhadap 31 sampel produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) mendapati tiada kandungan antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau telah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan kementerian untuk mengambil 15 sampel dari kilang syarikat itu dan 16 sampel dari pasaran untuk diuji.

“Siasatan makmal yang dibuat menunjukkan bahawa tiada kandungan Chloramphenicol, kalau ada, tindakan segera akan kita ambil untuk keluarkan produk itu dari pasaran,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Liow berkata kementerian memantau produk dari Ayamas sejak tahun 2009 hingga sekarang dan mendapati tiada kandungan antibiotik itu pada produknya.

Media melaporkan pada Khamis lepas bahawa kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.


Sumber
Harian Ekspres
9 November 2012




Kementerian tidak galak orang ramai ambil stevia

Stevia
MENTERI Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementeriannya tidak menggalakkan pengambilan stevia dalam kegunaan harian kerana tahap kemanisannya 200 ke 300 lebih tinggi berbanding gula.

Liow berkata kementerian juga tidak melarang orang ramai mengambil stevia, bagaimanapun mereka yang ingin berbuat demikian, perlulah dipantau oleh doktor ataupun pakar pemakanan.

Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan kemanisan yang terlalu tinggi akan menyebabkan mereka terbiasa dengan tahap manis, katanya.

Beliau berkata penggunaan stevia di dalam pemprosesan makanan dibolehkan kerana kadar kemanisannya dikawal rapi.

“Kita perlu lihat cara penggunaannya, kalau gula biasa kita sudah biasa, penggunaan stevia hanya dalam pemprosesan makanan dan tidak boleh dalam penggunaan harian, tetapi kalau rakyat nak ambil, perlu pendidikan secukupnya terhadap stevia,” jelas beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Sumber
Harian Ekspres
9 November 2012



Thursday, 8 November 2012

Peluang menangi komputer riba Acer

Gambar hiasan.
KOTA BELUD: Sebuah komputer riba ACER, bernilai RM1,499 bakal dimenangi sebagai hadiah utama dalam cabutan bertuah di Ekspo Pengajian, Kemahiran dan Pekerjaan Kota Belud esok (Sabtu) di Dewan Tun Said.

Cabutan bertuah itu juga menawarkan 14 hadiah lain untuk dimenangi. Ia hanya terbuka kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 serta pencari kerja yang mendaftar di Urusetia pada hari itu. Hadiah-hadiah ditaja oleh Suprine dan Rafflesia Spa.

Sepanjang ekspo itu, artis-artis tempatan seperti As Bow, Candy AF, Dayang Noraini, S Welly, Jason & Ryan serta pelawak Adin & Co turut bersama untuk menghibur pengunjung.

Pengerusi Penganjur, Peter Jiton, berkata bahawa kira-kira 40 gerai telah ditempah oleh kolej dan institusi pengajian tinggi, majikan serta agensi-agensi kerajaan yang akan memberi maklumat relevan kepada pengunjung-pengunjung.

Acara itu dianjur bersama oleh Yayasan Kota Belud, yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri, Datuk Salleh Said Keruak dan Pejabat Daerah Kota Belud.

Kolej dan institusi pengajian tinggi yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah Kolej Yayasan Sabah, Aseana, Segi, Sidma, Masterskills, Asian Tourism Institute, Mahsa, UMS, UMS Link, Ascot Akademi, Institut Latihan Perindustrian KK, UiTM dan Institut Pertanian Sabah.

Kakitangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga ada untuk memberikan penerangan kepada pelajar-pelajar mengenai pinjaman pelajaran yang ditawarkan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Syarikat perladangan utama seperti Sawit Kinabalu, Sabah Softwoods, Genting Plantations serta Sabah Electricity Sdn Bhd, Kentucky Fried Chicken, Rafflesia Spa, antara lain, akan menjalankan temuduga spontan.

Pengerusi Yayasan Kota Belud, Datuk Salleh berkata Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan mempamerkan pelan induknya di bawah Koridor Pembangunan Sabah manakala Yayasan Sabah akan mempromosikan aktiviti dan program pendidikan.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang akan mempromosikan program homestay, serta Jabatan Perhutanan Sabah turut mengambil bahagian.

“Saya juga gembira Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah akan membantu kami sebagai rakan kongsi kerana mereka mempunyai maklumat penting yang akan memberi manfaat kepada belia-belia kita,” katanya.

JTK Sabah akan membantu menjalankan sesi penulisan ringkasan atau resume bagi pencari kerja serta mempamer dan mempromosikan kegiatan yang dapat menyokong dan membantu pekerja.

Salleh juga melahirkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, terutama Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, yang telah memberi sokongan melalui agensi-agensi di bawah portfolio kementeriannya.

Skim insurans untuk artis veteran, kru produksi filem

Rais
KEMENTERIAN Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) merancang mewujudkan skim insurans bagi pelakon dan pemuzik veteran serta kru produksi filem dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil persatuan perfileman dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan bermesyuarat bulan depan bagi membincangkan perkara itu.

“Kita akan bergerak cergas secepat mungkin, pada bulan hadapan kita akan adakan perjumpaan satu lagi, kita berharap cadangan untuk mewujudkan skim insurans tadi dapat dihasilkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat KPKK bersama 20 persatuan perfileman tempatan di Kuala Lumpur, pada Khamis (8 Nov 2012).

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan menyelaras harga jualan produk visual tempatan kepada penyiar dalam negara, di mana rundingan dengan Astro, Media Prima dan RTM akan diadakan dalam masa terdekat.

Rais berkata pendekatan itu diambil demi membantu industri perfileman negara mencapai tahap lebih baik seperti dinikmati industri filem luar negara.

“Misalnya pada tahun lalu filem berbahasa Inggeris, mendapat lebih daripada RM370 juta nilai kutipan, sedangkan filem tempatan hanya sekitar RM112 juta, jadi hal sedemikian kita perlu lihat bagaimana industri filem tempatan ini dapat dibantu dari segi mutu,” katanya.

Beliau berkata terdapat cadangan untuk menyalurkan sebahagian kutipan hasil filem luar negara kepada dana kebajikan serta berbincang dengan pengeluar cakera padat mengenai cara meningkatkan pendapatan penyanyi tempatan.

Mengulas mengenai isu cetak rompak yang kerap berlaku daripada penyiaran filem dan drama di saluran Astro First, beliau berpendapat, tempoh tayangan akhir sesebuah filem di pawagam dan tayangan di saluran itu sepatutnya dijarakkan sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Ini juga harus diputuskan oleh persatuan-persatuan filem dan jika bersetuju, kami boleh mengenakan syarat ini di bawah undang-undang Akta Multimedia,” katanya.

Terdahulu, Rais turut menyampaikan sumbangan dana pengurusan daripada KPKK bernilai kira-kira RM15,000 setiap satu kepada 20 buah persatuan perfileman.

Antara persatuan yang hadir termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Artis Cina Malaysia dan Persatuan Seni Pentas India.


Sumber:
Harian Ekspres
9 November 2012




Remaja dibelasah gara-gara komen gambar di Facebook

GARA-GARA memberi komen berhubung gambar yang dimuat naik di laman sosial Facebook, seorang remaja wanita cedera di pukul dan ditumbuk sekumpulan individu yang dipercayai marah terhadap komen tersebut.

Mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan telah memberi komen yang menyinggung perasaan seseorang seorang rakan wanita di Facebook sehingga menyebabkan wanita itu “naik angin” lalu mengajak mangsa bertemu di satu lokasi di Kepong, Kuala Lumpur, awal minggu ini.

Dalam pertemuan tersebut, suspek bersama lima rakan termasuk seorang lelaki dipercayai bertindak memukul dan menumbuk mangsa yang datang ditemani suami dan seorang adiknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Ching Wah berkata, dalam pergaduhan itu, suami mangsa yang membawa sebilah parang bertindak mengejar suspek menyebabkan mereka bertempiaran lari.

“Dalam insiden itu, suami mangsa turut memecahkan cermin kereta suspek yang mencederakan isterinya.

“Selepas menerima laporan mengenai kejadian itu, polis segera menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Rabu lepas.



Wednesday, 7 November 2012

Tentera dari Tamparuli maut payung terjun tidak berfungsi

Gambar hiasan.
SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika sedang membuat latihan penerjunan di kawasan Hutan Simpan Kubu Gajah, Selama, Ipoh, Isnin lalu ditemui mati petang Rabu, kira-kira 500 meter dari tempat dia menjalani latihan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, ASP Abdul Ghani Zainun berkata mayat Koperal Supin Ghani, 37, yang berasal dari Tamparuli, Sabah ditemui di dalam kebun getah pada pukul 4.30 petang oleh anggota keselamatan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mangsa bersama 23 anggota tentera yang lain dilaporkan sedang mengadakan latihan penerjunan bersama pasukan komando peperangan khas dari kem Sungai Udang, Melaka di kawasan hutan simpan itu pada pukul 11.30 malam.

Mereka membuat penerjunan dari pesawat Charlie.

Abdul Ghani berkata selepas latihan selesai pada awal pagi, mangsa dilaporkan tidak kembali ke kem latihan dan kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis tengah hari Selasa lepas.

Polis lalu melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, tentera, Rela dan orang ramai.

Beliau berkata siasatan awal mendapati payung terjun yang digunakan mangsa dipercayai tidak berfungsi.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Sumber:
Harian Ekspres
8 November 2012




Uji bakat pementasan broadway Benny and the Emerald Forest

CHUA bersama mereka yang terbabitkan dalam produksi itu.
 
SEBAGAI menyokong usaha program transformasi ekonomi kerajaan berserta kejayaan muzikal terdahulu, Persatuan Teater Muzikal Sabah menganjurkan produksi penuh Broadway, Benny and the Emerald Forest, lengkap dengan kostum dan muzik berhakcipta.

Presidennya, Peter Chua berkata, sekiranya kita berhasrat memiliki masyarakat dan gaya hidup berpendapatan tinggi, muzik dan kesenian adalah penting.

“Perubahan hidup luar biasa yang dilihat pada golongan belia yang mengambil bahagian dalam bengkel kami sebelum ini, mendorong kami terus berusaha dan memberi lebih.”

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media yang diadakan di Music Mart, Asia City di sini pada Sabtu lepas.

Benny and the Emerald Forest adalah sebuah Muzikal Broadway yang diadaptasi daripada Wonderful Wizard of Oz milik Frank Baum.

Selain itu, Chua menyeru agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk membantu mereka dalam usaha muzik mereka yang berupaya mengubah hidup seseorang.

Beliau menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka semasa cuti sekolah, namun hanya mengalu-alukan mereka yang mempunyai masa untuk memberi komitmen penuh kepadanya selama sepuluh hari.

Uji bakat dibuka kepada mereka yang berumur antara 13 dan 26 tahun. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian di http://www.sabahmusicaltheatre.org atau berkunjung ke Music Mart (Asia City) untuk mendapatkan borang.

Tarikh tutup pendaftaran ialah 10 November. Selepas mendaftar, peserta akan diminta memuat turun Kit bahan uji bakat. (Pilih satu lagu daripada dua pilihan, dan satu daripada tiga monolog).

Uji bakat akan bermula pada 15 November, 2012 (di Music Mart, Asia City). Setelah dipilih, peserta diminta membayar RM500 untuk sewa kostum, bahan untuk bengkel serta pakaian berlatih.

Bengkel tersebut akan diadakan dari 13 hingga 23 Disember di Dewan Konvensyen Star City. Peserta akan menjalani lapan jam latihan setiap hari, selama sepuluh hari.

Acara lain termasuk Makan Malam Gala & Konsert Perdana dari jam 7 malam di Dewan Konvensyen Star City pada 23 Disember.

Sebuah Konsert Waktu Siang akan diadakan di Dewan berkenaan pada jam 2 petang pada 24 Disember.

Program muzikal ini disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah, dipersembahkan oleh Persatuan Teater Muzikal Sabah, Broadway Academy, TheRockSchool Musical Theatre, Music Mart serta dianjurkan oleh Persatuan Media Sabah dan e-Sabahdaily.com (Laporan Rini Zahlifah Ismail)


Sumber:
Harian Ekspres
7 November 2012















Tuesday, 6 November 2012

Pengurus mayat maut dipanah petir

MAYAT Daniel dimasukkan ke dalam kenderaan
polis untuk bedah siasat di hospital.
SEORANG pengurus mayat (undertaker) maut dipanah petir di sebuah tanah perkuburan di Taman Century, Luyang, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Bandaraya, DSP Jauteh Dikun berkata Daniel Brodie dari Kg. Suok, Papar meninggal dunia di tempat kejadian akibat dipanah petir ketika berlindung di sebuah pondok terbuka di kawasan perkuburan itu pada jam 4.25 petang.

Difahami bahawa mangsa berada di tanah perkuburan itu bersama rakan sekerjanya untuk upacara pengkebumian seorang Timor dan anggota keluarga orang yang meninggal dunia.

Mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Menurut saksi, telefon bimbit Daniel berbunyi dan ketika dia mengeluarkan telefon bimbit itu dari saku seluarnya, dia dipanah petir. (Oleh Jimmy Goh)


Sumber:
Harian Ekspres
7 November 2012

Laporan produk Ayamas Khamis, 8 Nov

KEMENTERIAN Kesihatan sudah mengambil contoh dari produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) yang didakwa mengandungi antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejas kesihatan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan produk itu sedang dijalankan dan laporan akan dikemukakan oleh Bahagian Keselamatan Makanan kementerian esok (Khamis, 8 Nov 2012) .

Beliau berkata pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan produk makanan dari syarikat itu adalah selamat.

“Di samping itu saya nak maklumkan bahawa sebenarnya kementerian sering memantau keselamatan makanan setiap masa dan pemeriksaan pada produk Ayamas pernah dibuat beberapa tahun yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia 2012 di Petaling Jaya, pada Selasa.

Media melaporkan, pada Khamis lepas kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Dalam pada itu, Liow turut menasihati mangsa banjir sekarang supaya menjaga kebersihan diri serta tempat tinggal bagi mengelak dari penyakit taun, denggi dan leptospirosis (kencing tikus).

Sumber:
Harian Ekspres
7 November 2012



Penuntut UMSKAL ungguli LaVOC 2012


SENTILINA (tengah) diapit oleh Cherril (kanan) dan Siti Asiah.
HAMPIR 300 penonton yang membanjiri perkarangan premis Victoria Island Club Labuan menjadi saksi apabila Sentilina Jamurang diumumkan sebagai juara Labuan’s Voice Of Champ 2012 atau LaVOC musim pertama baru-baru ini.

Sentilina, berasal dari Kota Marudu, Sabah yang kini belajar di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dalam jurusan pengajian Kewangan Islam berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil.

Peserta ini juga turut dipilih selaku pemenang Vokal Terbaik yang membawa hadiah wang tunai RM100 dan trofi.

Gelaran Naib Juara dimenangi gadis Tambunan, Cherril Itchell Henry yang menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM750, trofi dan sijil.

Tempat ketiga pula dimenangi Siti Asiah Supangat, dari Labuan, yang membawa pulang wang tunai RM500 beserta trofi dan sijil.

Kesemua 10 finalis pertandingan itu diadili Peter Anderson selaku Ketua Juri, dan dibantu oleh Chu Kar Seng, Ume Ahmad dan artis Murut terkenal, Apiang Sausun.

Sebelum acara akhir LaVOC 2012 dimulakan, Penaungnya, Christopher Darison mengucapkan terima kasih kepada penderma-penderma yang sudi menyumbangkan dana kewangan, tenaga dan masa kepada penganjur bagi memastikan kejayaan LaVOC 2012.

Beliau yang juga aktivis seni hiburan tempatan berharap pihak penganjur dapat meneruskan hasrat menganjurkan program-program berbentuk hiburan seperti LaVOC agar dapat membantu memeriahkan suasana industri hiburan tempatan, lebih-lebih lagi di Labuan sendiri.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghargaan kepada Pengarah Program, Ronney Ajim serta rakan AJK yang lain kerana berjaya menganjurkan LaVOC serta memberi komitmen yang tinggi terhadap program tersebut.

Terdahulu, Pengarahnya yang juga pemilik Dronncreative, Ronney dalam ucapannya memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung lebih-lebih lagi kepada semua AJK LaVOC, Victoria Island Club, IPD Labuan, rakan media cetak, warga FMD, para penderma, artis tempatan, rakan-rakan yang datang jauh dari Kota Kinabalu memberi sokongan kepada LaVOC serta kesemua peserta yang menyertai pertandingan nyanyian itu.

Selain acara menyanyi, turut diselitkan pada malam itu ialah cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah lumayan seperti 10 buah hamper sumbangan CEO Asian Suply Base, Dato Harris Hj Anuar Tan serta dua hadiah utama berbentuk tiket penerbangan pergi balik Labuan-Kota Kinabalu-Labuan sumbangan peribadi Peter Pikul.

Seramai 22 peserta mengambil bahagian dalam saringan LaVOC 2012 yang diadakan malam Sabtu lepas dan hanya 10 finalis sahaja yang terpilih ke peringkat akhir.

Labuan’s Voice Of Champ 2012 dianjurkan oleh kumpulan Dronncreative dengan kerjasama Victoria Island Club.

KESEMUA 10 Finalis mengabadikan kenangan di akhir pertandingan itu.
(Dari kiri) Billy Jay, Elvina Jane, Harlin Ali Hasan, Zek Jas, Sapvren Cullen,
Sentilina, Cherril, Siti Asiah, Joven Arizel dan Hazmi Bongsu.
Sentilina menyanyi dengan penuh penghayatan.
BARISAN juri.
Orang kuat LaVOC 2012 bersama juri.

Sumber
Harian Ekspres
7 November 2012



Greyson Chance semakin matang

Teks dan gambar oleh Sherell Ann Jeffrey

CHANCE kelihatan cukup
selesa bercakap dengan media
KIRA-KIRA 5,000 pendengar setia Hitz.fm Kota Kinabalu membanjiri Gourmet Lane di 1Borneo Hypermall untuk program Birthday Invasion yang dianjurkan oleh stesen radio itu sempena ulang tahun keduanya, baru-baru ini.

Persembahan itu menampilkan artis tempatan seperti Dang Bandangs, One Buck Short, Pop Shuvit dan penyanyi-penulis lagu antarabangsa Greyson Chance, yang mendapat sorakan peminatnya sebaik mengambil alih pentas.

Chance menyanyikan lapan lagu dari album terbarunya iaitu Waiting Outside The Lines, Leila, You Might Be The One, Unfriend You, California Sky dan Take My Heart, dalam persembahan cukup bertenaga selama 45 minit.

“Saya sangat menyukai Kota Kinabalu, keadaan di sini amat menyenangkan tetapi saya mempunyai masalah dengan cuaca tropika di sini kerana cuaca di sini panas 30 minit lepas dan sekarang hujan,” katanya, semasa sidang media yang diadakan di 1Borneo sebelum konsert itu berlangsung.

“Saya amat gembira dapat datang ke sini dan membuat persembahan untuk peminat saya. Sudah pasti saya akan memberikan satu persembahan yang cukup berbeza berbanding apa yang mereka pernah saksikan sebelum ini dan saya mahu mereka berasa seronok,” kata Chance, sambil menambah, dia kini 7-inci lebih tinggi berbanding kali terakhir dia datang ke Kota Kinabalu, November tahun lepas. Ini adalah persembahan kali kedua penyanyi dari AS itu di sini.

Bercakap mengenai sensasi pop Korea (K-pop), Chance memberitahu muzik K-pop adalah suatu yang hebat tetapi tidak terlalu mendapat perhatian di Amerika Syarikat seperti mana Psy (penyanyi Oppa Gangnam Style) yang mencetuskan fenomena bukan sahaja di negara Uncle Sam itu tetapi juga di seluruh dunia.

“Saya tidak pernah bertemu Psy tetapi saya tidak pula terfikir untuk membuat video seperti Oppa Gangnam Style kerana saya tahu ia pasti nampak hodoh kerana saya tidak pandai menari,” tambahnya.

Mengenai album EPnya yang berjudul Truth Be Told Part 1, Chance berkata ia memuatkan enam buah lagu yang “terlalu istimewa bagi saya kerana semua lagu ini saya tulis sendiri dan album ini umpama saya mengubah permainan saya kerana saya menukar genre saya dalam album ini berbanding album terdahulu.”

“Ia lebih perlahan, natural dan segar… Saya merasakan ia baik untuk generasi saya mempunyai lagu seperti ini, kerana ketika ini muzik pop sudah mula kedengaran hampir sama dan saya ingin mengubahnya sedikit.

“Album ini lebih kepada penceritaan sebuah kisah mengenai kehidupan peribadi saya dan saya merasakan ia (album) sedikit lebih matang (berbanding EP terdahulu) kerana sekarang saya sudah meningkat dewasa, begitu juga muzik saya.

“Gaya saya sangat berbeza untuk album ini dan mungkin ia akan berubah lagi… saya tidak tahu kerana bagi saya muzik sentiasa berkembang dan walaupun jika anda mendengar artis yang berbeza dan band yang berbeza ia berubah untuk setiap album,” katanya.

Bagaimanapun, Chance menafikan dia mempunyai teman wanita apabila ada peminat cuba mengaitkan dirinya dengan lagu You might be The One dan Leila.

“Semua orang bertanya jika saya mempunyai teman wanita bernama Leila dan saya jawab ‘tidak’.

You Might Be the One pada dasarnya menceritakan tentang bagaimana diri saya setiap kali saya jatuh cinta sebelum ini, saya seperti orang yang bodoh, di mana saya tidak dapat berfikir… Ia hanyalah satu pemikiran bagaimana rasanya apabila saya berada di alam percintaan dan bukannya benar-benar bercinta.

“Lagu Leila bagi saya merujuk kepada seorang yang sempurna dan tidak wujud, Leila lebih kepada sebuah idea dan proses,” tambahnya.

Mengenai sama ada dia mempunyai perancangan untuk mengikut jejak langkah Justin Bieber, dia berkata, “Tidak”.

“Saya buat hal saya sendiri tetapi saya merasakan tattoo Justin sangat hebat, saya nampak tattoonya yang berbentuk burung hantu dan saya rasa ia hebat.

“Kakak saya juga mempunyai tattoo dan saya mungkin mahu seperti dia apabila saya sudah berusia 18 tahun tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Apa pun saya rasa ia pastinya menarik.”

Sebagai remaja yang baru berusia 15 tahun, Chance yang mula mencipta nama melalui YouTube berkata, ketika berumur enam tahun, dia tidak pernah terfikir bahawa dia akan dia akan datang ke Malaysia.

“Ia adalah sesuatu yang di luar realiti tetapi saya berasa seronok dapat melakukan apa yang saya mahu seperti menulis muzik (lagu) dan membuat persembahan.”

Katanya, dia berharap masih boleh menghasilkan muzik dan membuat persembahan sepuluh tahun akan datang dan mahu dikenali sebagai seseorang yang menghasilkan dan mencintai muzik.

“Saya merasakan kadang-kadang artis lebih dikenali kerana rupa mereka dalam gambar dan apa yang mereka pakai dan berapa banyak wang mereka ada tetapi saya hanya ingin dikenali sebagai seseorang yang mencipta dan mencintai muzik.

Mengenai sama ada dia pernah menangis apabila mendengar lagu, Chance mengakui, “sudah tentu, saya menangis setiap hari.

“Muzik sepatutnya bukan sahaja menghiburkan dan seronok untuk didengari, ia harus dapat menyentuh perasaan kita, contohnya apabila saya mendengar sebuah lagu cinta saya akan berasa seperti ‘saya mahu jatuh cinta’ dan jika ia lagu sedih, saya akan menangis.

“Sebagai seorang penulis lagu saya cuba meletakkan sebanyak mungkin hubungan peribadi ke dalam muzik saya seperti mana yang saya dapat rasakan dari muzik lain yang saya dengar.

“Dan untuk peminat saya yang mendengar lagu California Sky dan EP saya, saya mahu mereka memikirkan tentang seseorang yang mereka rindui sebab itulah sebenarnya yang cuba saya sampaikan dalam lagu itu,” katanya.

Gambar-gambar berikut diambil ketika Chance membuat persembahan dalam konsert itu:





 
 




Sumber:
Harian Ekspres
6 November 2012