Kecacatan penglihatan bukan penghalang Ailon Mojilik terbitkan telefilem
Boyd PV
DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalan dan itulah yang dibuktikan oleh Ailon Mojilik yang walaupun cacat penglihatan sejak berumur 8 tahun, dia mampu menerbitkan sebuah dokudrama yang memaparkan kisah suka duka di awal kehidupannya sebelum bergelar penyanyi.
Usah dibandingkan pencapaian Ailon dengan penyanyi zaman sekarang kerana mereka hadir di kanvas seni tempatan pada latar masa yang berbeza.
|
AILON (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Jude sambil diperhatikan P.Dik Ganai |
Namun ketika namanya berada di puncak antara tahun 60an dan 80an, Ailon dan kumpulannya The New Generation berdiri sama tinggi dengan penyanyi-penyanyi hebat lain ketika itu.
Lagu-lagunya,
Tiad Ku Di Kosodop (Tangisan Ku Semalam) dan
Oluo Do Soovon (Perit Untuk Dikenang), antara lain, pernah menjadi siulan peminat.
Malah, Ailon mempunyai himpunan lagu-lagu hitsnya di RTM Sabah yang sesekali masih lagi kedengaran di ruang udara sehingga kini.
Bagaimanapun, seperti kebanyakan artis seangkatan dengannya, zaman kegemilangan Ailon sudah lama berlalu.
Kini pada usia 66 tahun, dia bahagia dengan kehidupannya bersama isteri, Norah Garang, dan enam anak serta dua cucunya di Kg Nosoob Baru, Penampang.
Namun sejak lima tahun lepas, hatinya bagai meronta untuk berkongsi kisah hidupnya dengan peminat dan generasi baru.
Semangatnya bagai dibakar untuk merealisasikan impian mengabadikan kisah hidupnya dalam bentuk telemovie yang akan menjadi legasinya, selain lagu-lagu malar segarnya, apabila dia sudah tidak ada kelak.
Hasratnya untuk mencapai impian itu dipermudah apabila dia dipertemukan dengan P. Dik Ganai, pemilik syarikat produksi Bayo Pictures Sdn. Bhd.
Usaha yang dimulakan awal tahun ini akhirnya menyaksikan dokudrama Ailon – Tangisan Ku Semalam dilancarkan baru-baru ini di Hongkod Koisaan KDCA, di Penampang.
“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan pembikinan dokudrama ini terutamanya kepada pengarah P.Dik Ganai dan semua pelakon yang terlibat,” kata Ailon di akhir majlis pelancaran itu yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan dan Adun Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin. Beliau diwakili oleh Jude Sebastian, Pegawai Perhubungan kepada Tan Sri Bernard Dompok.
Pembikinan produk kreatif seperti dokudrama Ailon – Tangisan Ku Semalam adalah satu bentuk perniagaan di mana untung ruginya perlu diambil kira.
Jadi, mahu atau tidak, sekalipun hasrat awal sekadar ingin berkongsi kisah hidupnya dengan peminat, Ailon kini perlu berfikir sebagai seorang ahli perniagaan untuk memastikan wang simpanan peribadi melebihi RM72,000 yang dilaburkannya untuk menerbitkan dokudrama itu mendapat pulangan sewajarnya.
Banyak kerja menantinya selepas ini yang sudah tentunya akan mencabar fizikalnya pada usia sekarang.
Tapi bak kata pepatah “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”.
Alang-alang usaha itu sudah dimulakan, Ailon akan pastikan kehadiran produk itu disedari orang ramai.
Dan untuk itu, satu siri jerayawara telah disusun atur dengan bantuan pengarahnya, P.Dik Ganai, di mana mereka akan menjelajah ke seluruh Sabah untuk mempromosikan dokudrama itu.
“Majlis malam ini juga adalah permulaan kepada program promosi kami,” kata P.Dik.
Selepas Penampang, katanya, program promosi itu akan menjelajah ke beberapa daerah termasuk Papar, Tenom, Keningau, Tambunan sebelum ke Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Tamparuli.
“Kami juga berhasrat untuk menjelajah ke Pantai Timur Sabah. Tapi apapun, semua ini bergantung kepada Ailon kerana urusan promosi adalah sesuatu yang memenatkan dan mencabar keupayaan fizikal,” katanya.
Di atas kertas, program promosi itu akan berjalan selama enam bulan dan selepas itu, jika semuanya berjalan lancar Ailon - Tangisan Ku Semalam akan ke stesen televisyen TV-i.
“Saya harap perbincangan dengan stesen televisyen itu akan berjaya. Selepas enam bulan, kami akan teruskan perbincangan dengan stesen televisyen itu,” kata P.Dik.
Ailon amat berharap projek sulungnya itu akan mendapat sokongan daripada peminat, khususnya yang pernah merasa terhibur dengan lagu-lagu nyanyiannya.
Satu lagi impian yang ingin dicapai oleh Ailon ialah sebahagian daripada hasil jualan dokudrama DVD itu akan didermakan kepada Persatuan Orang Buta Sabah di Tuaran.
Hiburan Ekspres difahamkan majlis penyerahan sumbangan itu akan berlangsung dalam masa terdekat.
Barisan pelakon baru
Dokudrama Ailon – Tangisan Ku Semalam bukan sekadar menceritakan jalan hidup watak utamanya, Ailon.
Malah menyingkap lapisan lebih dalam, penonton akan dapat melihat kesungguhan dan kejujuran lebih 30 pelakonnya untuk memberikan yang terbaik.
Menggunakan khidmat pelakon yang hampir kesemuanya langsung tidak mempunyai asas lakonan, P.Dik mengakui berdepan keadaan sukar di set untuk mendapatkan apa yang dimahukannya.
|
AILON (berkaca mata hitam), Jude (sebelah kanan Ailon) dan P.Dik Ganai (di kiri Ailon) mengabadikan kenangan bersama sebahagian daripada 30 pelakon yang menjayakan dokudrama itu. |
Tapi menonton hasilnya, ia tidaklah mengecewakan walaupun masih ada ruang untuk peningkatan.
Penampilan istimewa Clarice John Matha dan P. Dik sendiri membantu menyuntik kekuatan kepada telefilem ini.
Pelakon lain ialah Sarah Augustin, Harry Ailon, Benedict Rayner, Mypat Joseph, Joseph P Lolong, Francis Mobijon, Norah Garang dan Francisca Maipok.
Sylvia Augistine, Rosle Yunos, George Doivin, Stephanie Augustin, Aloysius Moinin, Remmy Chia, Richard Augustin, Hybrida May Roger dan Merrly Roger.
Mereka turut dibantu Simeon Rayner, Melvin Gabriel, Nickson Loison, Nicoleson Loison, Alexander Carl, Cornelia Cisca Bernard, Jordon Togium, Charles Liansong, Martin Pinding, Elvin Isos, George P Loling, Danny Vilus, Roni Maidin dan Felix George P Loling.
Sinopsis
Ailon Mojilik lahir dalam sebuah keluarga yang sederhana.
Dia dilahirkan sebagai kanak-kanak normal yang aktif dan ceria. Namun kehidupan Ailon berubah apabila dia menjangkau umur 8 tahun di mana dia menjadi buta akibat serangan demam panas yang berpanjangan.
Dengan keadaan yang mengubah kehidupannya itu, Ailon bertambah sedih apabila bapanya sendiri tidak dapat menerima nasib yang menimpa anaknya itu sehingga di luar kesedarannya, kata-kata yang diluahkannya banyak melukakan hati Ailon.
Menyedari kekurangan yang ada, Ailon menerima segala cacian yang dilontarkan kepadanya itu sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupannya seperti orang lain.
Ailon terpaksa akur dan menolak untuk menerima pendidikan di Sekolah Khas Pendidikan Orang Buta di Johor kerana enggan berpisah dengan ibunya (lakonan Clarice John Matha).
Pada usia remaja, Ailon yang begitu meminati alat muzik mendapat peluang bermain gitar sambil menyanyi dalam sebuah kumpulan kugiran di daerahnya.
Bermula dari situ, bakat Ailon mula menyerlah sebagai penyanyi dan kumpulannya mendapat tempat di hati peminat dan telah membuat mereka sering diundang ke majlis perkahwinan.
Kumpulan kugiran yang pimpin oleh Ailon sering dijemput untuk mengadakan persembahan di pesta ria dan persembahan pentas anjuran RTM.
Ailon semakin dikenali dan mencetuskan satu fenomena apabila dia berpeluang merakam lagu di Radio Sabah.
Kenangan terindah Ailon ialah apabila kugirannya diberi kepercayaan untuk mengiringi persembahan artis terkenal tanah air yang mengadakan persembahan di Sabah.
Hampir kesemua penceritaan dalam dokudrama ini menggunakan teknik flashback di mana Ailon (zaman sekarang) bercerita mengenai perjalanan hidupnya kepada dua pelajar kolej yang ingin menyiapkan tugasan mereka.
Sumber:
Harian Ekspres
6 September 2012